Dewan Rakyat lulus Usul Junjung Kasih Titah Agong
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada 13 September lepas.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, usul itu disetujukan selepas menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju selepas ia dibahaskan selama empat hari mulai 14 September oleh 91 ahli Parlimen dan disusuli dengan penggulungan oleh 27 kementerian terlibat selama dua hari.
Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan adalah mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), penggubalan akta anti lompat parti, rang undang-undang mengenai gangguan seksual dan isu berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Persidangan pada Khamis menyaksikan 11 kementerian menggulung perbahasan termasuk lima jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Mengikut takwim Dewan Rakyat, persidangan pada Isnin (27 September) akan diteruskan dengan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada jam 11.30 pagi dan akan disusuli sesi perbahasan pada 28 September.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!