Manfaatkan kelonggaran pembukaan masjid, surau
BERITA gembira buat umat Islam di Selangor hari ini setelah sekian lama menunggu, akhirnya 1,000 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Bagi masjid-masjid lain pula, seramai 500 jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat.
Perkembangan itu dimaklumkan menerusi satu edaran dalaman yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkuat kuasa pada Rabu sehingga satu tempoh ditentukan kelak.
Selain masjid, kelonggaran juga diberikan kepada surau-surau bagi menunaikan solat fardu susulan Selangor telah beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Malah, negeri-negeri lain pun sudah mula melonggarkan bilangan jemaah di masjid dan surau, sesuai dengan perkembangan semasa Covid-19 di negeri masing-masing.
Sebelum ini, isu solat Jumaat hangat diperkatakan apabila ramai mengharapkan kelonggaran diberikan seperti juga kebenaran untuk tempat-tempat pelancongan.
Tidak cukup dengan itu, timbul pula dakwaan tidak elok terhadap pengurusan masjid seperti mengutamakan golongan VIP dan kluster kayangan sehingga tular di laman sosial dengan komen-komen negatif.
Kontroversi sebegini sebenarnya memberi imej tidak baik kepada institusi masjid yang sepatutnya dihormati. Ia perlu ditangani dengan toleransi dan bukan emosi. Diharap selepas ini tiada lagi kedengaran kontroversi melibatkan rumah ibadat.
Masjid sudah terbuka luas sedikit, terpulang kepada orang ramai untuk datang beramai-ramai mengimarahkannya. Yang penting, kena jaga prosedur operasi standard (SOP) kerana Covid-19 masih belum berakhir.
Seperti kata Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad sebelum ini, Sultan Selangor telah membuka ruang kepada seluruh jemaah dengan kelonggaran yang diberikan dan ia sewajarnya dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Manfaat tersebut bukan sahaja dengan meningkatkan jumlah jemaah solat Jumaat tetapi memenuhi masjid ketika solat fardu dan aktiviti lain.
Jangan hanya lantang bersuara mendesak masjid-masjid dibuka tapi tidak muncul untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu berjemaah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!