UMNO harus lebih ke depan buat pembaharuan
AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz baru sahaja mengulangi pendiriannya supaya pemilihan UMNO dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seolah-olah menjawab kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa UMNO tetap berpegang dengan keputusan yang dibuat.
Ahmad Maslan berkata, pihaknya berpegang pada tarikh pemilihan yang boleh diadakan sehingga Disember 2022 seperti dimuktamadkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS). Sehingga kini katanya, belum ada tarikh ditetapkan.
Setiausaha Agung UMNO itu juga turut menambah bahawa isu pemilihan sebelum pilihan raya tidak timbul kerana sudah banyak kali pemilihan UMNO diadakan selepas PRU.
Sebenarnya, keputusan UMNO sebelum ini untuk menangguhkan pemilihannya di semua peringkat selama 18 bulan tidak mampu ‘mendiamkan’ beberapa pihak dalam parti itu. Desakan beberapa pihak memperlihatkan seolah-olah mereka tidak bersetuju dengan penangguhan selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.
Tak kurang juga yang seakan menyindir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya mempercepatkan pemilihan UMNO ketika beliau sebelumnya memberikan kenyataan supaya persidangan Parlimen dipercepatkan.
UMNO perlu membuat pemilihan semula selepas genap tiga tahun pemilihan parti itu pada 30 Jun lalu, namun keputusan penangguhan dibuat selepas mengambil kira faktor pandemik, apatah lagi pemilihan UMNO akan libatkan lebih tiga juta ahli.
Pada 6 Ogos lalu, RoS bagaimanapun menetapkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu bagi menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Namun, jabatan berkenaan pada akhir Ogos membatalkan keputusannya berhubung perkara itu apabila Ahmad Maslan mengesahkan menerima surat daripada Ketua Pengarah RoS dan memaklumkan bahawa keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 dibuat secara teratur.
Bagaimanapun, suara-suara dalam parti agar pemilihan dilakukan segera agak jelas kerana kepimpinan perlu menentukan hala tuju lebih baik dan memastikan kekuatan parti itu sebelum ke gelanggang PRU.
Apatah lagi, BN juga dilihat tersasar dengan pemimpin-pemimpin utama parti itu dilihat kurang mencapai persefahaman. Begitu juga dakwaan kewujudan dua nakhoda dalam parti yang dilihat sesetengah pihak bahawa UMNO wajar melakukan pemilihan sebelum PRU.
Apa pun, kebimbangan pemimpin UMNO terhadap situasi dalaman parti melalui desakan supaya pemilihan diadakan lebih awal perlu dilihat secara terbuka dan berlapang dada oleh kepimpinan tertinggi UMNO. Isu-isu dalaman parti perlu diselesaikan segera untuk memastikan UMNO yang sudahlah tidak lagi kuat ketika ini, tidak lagi bertambah lemah.
Apatah lagi, kedudukan UMNO ketika ini bukanlah di posisi yang sangat selesa.
Sebagaimana pengamal undang-undang, Datuk Adnan Seman dalam sebuah akhbar tempatan berkata bahawa keputusan pemilihan itu juga akan menentukan pendirian UMNO berkaitan kerjasama politik dengan beberapa parti yang membentuk kerajaan ketika ini.
Katanya, pemilihan UMNO sebelum PRU15 juga akan menguji kekuatan dan tahap sokongan pemimpin-pemimpin yang sedang menerajui parti itu mahupun kerajaan.
Justeru, UMNO sepatutnya lebih ke depan memikirkan kestabilan parti sekali gus memastikan kestabilan politik di Malaysia. Sepatutnya peristiwa hitam tercatat dalam sejarah negara pada 2018 dijadikan iktibar bagi memastikan perjalanan UMNO lebih baik berbanding dahulu.
Pemilihan bukanlah tempat menyingkirkan sesiapa tetapi memilih individu lebih layak, berkarisma, bersih dan kukuh bagi memenangkan UMNO dan Barisan Nasional pada PRU nanti.
Apa yang jelas, pemilihan UMNO sekali lagi sudah tentu akan menjadi perhatian khalayak. Bukan hanya ahli parti, malah mereka di luar parti yang tidak sabar-sabar menantikan bilakah tarikhnya untuk mengikuti secara lebih dekat perkembangan politik parti tersebut.
Apa pun terpulang kepada UMNO dan mungkin keputusan parti lebih utama untuk dipatuhi ketika ini. Bak kata Ahmad Maslan memetik laporan akhbar tempatan: “Kami lebih tahu urusan parti.”
* W Saidatul Fadzilah W Najemudin ialah Web Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!