Otai Reformis saran dos ketiga tidak dilaksanakan tergesa-gesa

Idris
Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Otai Reformis 1998 menggesa agar pemberian suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa kepada rakyat di negara ini.

Sebaliknya, pertubuhan itu menyarankan agar kerajaan membuat kajian yang lebih mendalam sebelum melaksanakan program itu di Malaysia.

Pengerusinya, Dr Idris Ahmad berkata, kerajaan juga wajar mendapatkan laporan lengkap kajian berhubung suntikan dos ketiga yang dilakukan di luar negara terlebih dahulu.

Menurut beliau, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga digesa lebih terbuka dalam isu melaksanakan pemberian dos ketiga dengan memberikan fakta-fakta saintifik yang membenarkan pelaksanaannya.

"Daripada laporan media antarabangsa hanya Israel dan China sedang melaksanakan vaksinasi dos ketiga serta dikhabarkan Israel berkemungkinan melaksanakan dos keempat ke atas rakyatnya.

"Maka, rakyat wajar menolak perlaksanaan vaksinasi dos ketiga itu kecuali kerajaan mampu (untuk) memberikan penjelasan yang memuaskan.

"Hal yang demikian adalah disebabkan imuniti kelompok sehingga 90 peratus seperti disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah lebih daripada mencukupi untuk mengekang penularan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis malam.

Pada Ahad lalu, Khairy dalam lawatan kerja dan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) di Wisma Darul Aman di Kedah memaklumkan pemberian suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 dijangka bermula pada Oktober depan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 dijangka mula awal Oktober

Dalam pada itu, Dr Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok menyarankan agar kerajaan melipatgandakan usaha melaksanakan pemberian vaksin kepada pekerja warga asing.

"Ini memandangkan terdapat lebih tiga juta pekerja warga asing berada di Malaysia baik yang mempunyai dokumen sah mahu pun tanpa dokumen," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga berasa kurang selesa dengan program vaksinasi ke atas pelajar sekolah yang berumur antara 12 hingga 17 tahun di negara ini.

"Hampir kebanyakan negara dunia baik Amerika Syarikat mahu pun negara-negara Eropah, dan beberapa negara-negara Asia yang lain masih belum atau tidak melaksanakan vaksinasi terhadap kumpulan itu seperti dirancang oleh pihak kerajaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!