ABIM sambut baik komitmen kerajaan
Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, penyertaan serta ratifikasi ini dilihat sebagai usaha dan komitmen tidak berbelah negara untuk memastikan terpeliharanya keamanan sejagat dan hak asasi tanpa sebarang kompromi.
"Pembabitan Malaysia sebagai negara anggota ICC membuka ruang untuk negara ini berperanan secara proaktif dalam arena politik antarabangsa khususnya menerusi artikel Artikel 13 (A) dan 14 (1) Statut Rome.
"Kedua-dua artikel ini secara jelas menetapkan hak serta peranan Malaysia sebagai negara anggota ICC yang boleh memberikan kesan yang sangat besar dalam mencorak politik antarabangsa berasaskan prinsip kebenaran dan keadilan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Wisma Putra dalam satu kenyataan, memaklumkan bahawa Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rome bagi ICC.
Beliau juga dilaporkan telah mengemukakan instrumen kesertaan tersebut kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama.
Menurut Mohamad Raimi, bidang kuasa ICC adalah meliputi penyiasatan, perbicaraan serta hukuman terhadap jenayah genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.
"Besar harapan Abim agar hak serta kedudukan Malaysia dalam ICC ini dapat dimanfaatkan untuk menegakkan keadilan serta membela hak asasi umat Islam di seluruh dunia khususnya di Gaza, Palestin, Rohingya, Syria, serta etnik Uyghur, yang menderita akibat kezaliman serta penindasan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Sesungguhnya ratifikasi ini adalah detik bersejarah kerana ia adalah satu refleksi penting komitmen Malaysia sebagai sebahagian dari warga antarabangsa menjunjung keamanan sejagat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!