Bantah buka kilang bateri plumbum
KUALA LANGAT - Penduduk di Kampung Jenjarom bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah rancangan pembukaan semula sebuah kilang bateri plumbum di sini yang dibimbangi akan memberi kesan pencemaran kepada masyarakat setempat.
Bantahan itu dinyatakan menerusi satu perhimpunan aman yang diadakan di hadapan kilang terbabit selepas sesi libat urus yang berlangsung di Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), pada Jumaat.
Menurut wakil penduduk Kampung Jenjarom, Mohd Nazri Afrizal berkata, kilang berkenaan pernah ditutup pada tahun 2019 apabila hasil siasatan agensi dan jabatan berkaitan mendapati terdapat kesan pencemaran susulan operasi di premis terbabit.
"Namun, menerusi mesyuarat bersama MPKL pada 20 September lalu, pihak terlibat memaklumkan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor telah bersetuju untuk membenarkan semula operasi kilang ini.
"Kami sebagai penduduk amat kesal dengan keputusan ini memandangkan kilang berkenaan telah ditutup kerana ia menjadi punca pencemaran sebelum ini," katanya.
Antara NGO yang membantah pembukaan semula kilang berkenaan adalah Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center), Five Arts Center, Greenpeace Malaysia dan beberapa yang lain.
Mengulas lanjut, Mohd Nazri berkata, menerusi semakan oleh pihaknya, sekitar 98 peratus daripada penduduk setempat di sini membantah pembukaan semula kilang berkenaan yang dilihat bakal memberi kesan buruk pada masa hadapan.
"Kilang berkenaan pernah terbakar pada tahun 2007 lalu dan keadaan seperti itu pastinya mengundang risiko pencemaran dan membahayakan penduduk setempat di sini.
"Malah, mengikut Rancangan Tempatan MPKL 2030, kawasan ini juga hanya dibenar untuk industri sederhana manakala pembuatan bateri pula tergolong di bawah industri berat," katanya.
Tambah Mohd Nazri, penduduk setempat berharap agar MPKL kekal tidak memberikan lesen operasi kepada pemilik kilang terbabit bagi menghentikan pembukaannya selepas ini.
"MPKL harus mempelawa pertubuhan masyarakat awam pada masa hadapan bagi mendapatkan maklumat dan pandangan terhadap projek yang memberi kemudaratan," katanya.
Pada 2019, kilang berkenaan telah diarah tutup serta-merta oleh kerajaan Selangor sehingga siasatan terhadap pencemaran asid dan plumbum yang didakwa berpunca daripada premis itu selesai.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Hee Loy Sian, berkata, kilang bateri itu turut dikenakan enam kompaun berjumlah RM12,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!