PPN Fasa 2: Peniaga di Johor tarik nafas lega

Pengusaha Mee Rebus Abdul Halim Wahid, 65, menyediakan pesanan pelanggannya di medan selera Plaza Angsana Johor Bahru ketika tinjauan fotoBernama hari ini.- Foto Bernama
Pengusaha Mee Rebus Abdul Halim Wahid, 65, menyediakan pesanan pelanggannya di medan selera Plaza Angsana Johor Bahru ketika tinjauan fotoBernama hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peniaga di sebuah pusat beli-belah popular di bandar raya ini menarik nafas lega apabila perniagaan mereka mulai rancak menerima kunjungan orang ramai pada hari pertama peralihan Johor ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat.

Pemilik kedai makan Hj Wahid Mee Rebus, Abdul Halim Wahid, 65, memberitahu, dia menjangkakan kehadiran pengunjung akan lebih meriah pada hari minggu susulan orang ramai yang telah lengkap vaksinasi kini boleh merentas daerah.

“Sebelum ini, orang ramai mungkin takut atau ragu-ragu untuk keluar, tetapi setelah Johor beralih ke fasa baharu kita harap pelanggan akan bertambah,” katanya yang telah berniaga kira-kira 24 tahun di pusat beli-belah itu kepada Bernama ketika ditemui di sini, pada Jumaat.

Bagi pemilik kedai kasut Lim Kang Wei, 44, dia berharap dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam fasa dua, ia sedikit sebanyak dapat membantu kestabilan perniagaannya yang telah terjejas sejak tiga bulan lepas.

“Namun pada masa sama juga, kita harap dapat menyambut kehadiran pengunjung dari luar negara terutama Singapura kerana bandar Johor Bahru menjadi tempat tarikan mereka,” katanya.

Pekerja kedai kerepek Plaza Angsana Johor Bahru menyusun pelbagai jenis kerepek di kedainya susulan negeri Johor beralih ke fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan hari ini.- Foto Bernama
Pekerja kedai kerepek Plaza Angsana Johor Bahru menyusun pelbagai jenis kerepek di kedainya susulan negeri Johor beralih ke fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan hari ini.- Foto Bernama

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati, orang ramai dilihat membeli-belah bersama anak-anak mereka serta menjamu selera seawal pukul 10 pagi tadi.

Seorang pengunjung, Nur Syairah Mohd Khalid, 28, berkata, dia mengambil kesempatan untuk keluar bersiar-siar pagi ini membeli-belah bersama keluarga memandangkan anak-anak sudah terlalu lama berada di rumah.

Artikel Berkaitan:

“Kalau boleh saya juga mahu bercuti bersama keluarga di kawasan berdekatan sebab anak-anak sudah tanya bila hendak berjalan-jalan.

“Alhamdulillah, sudah fasa dua, orang ramai sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan normal baharu,” katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!