AirAsia tawar penerbangan percuma kepada pemegang pas tanpa had
AIRASIA menawarkan penerbangan percuma kepada semua pemegang Pas Tanpa Had AirAsia (Cuti-Cuti Malaysia) ke mana-mana destinasi domestik yang tidak dapat dilakukan berikutan sekatan perjalanan sejak tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Super App, Amanda Woo berkata, pas tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan ketika ia dilancarkan pada tahun lalu.
Menurutnya, ramai tetamu telah memanfaatkannya dengan melakukan perjalanan dan menikmati cuti-cuti Malaysia di seluruh rangkaian penerbangan domestik merangkumi 16 destinasi.
“Bagaimanapun masih ada yang tidak dapat menggunakan pas mereka sepenuhnya berikutan sekatan perjalanan.
“Sebagai tanda penghargaan, kami ingin memberikan penerbangan percuma kepada pemegang pas ini dan mengambil peluang untuk bercuti ke Langkawi atau membuat perjalanan penting ke destinasi domestik.
“Ini juga merupakan satu lagi inisiatif kami untuk memacu pelancongan domestik Malaysia dan menyokong usaha kerajaan terutamanya berkenaan gelembung pelancongan Langkawi serta destinasi lain yang akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Amanda berkata, AirAsia telah melaksanakan beberapa langkah inovasi teknologi tanpa sentuhan dan penambahbaikan untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang mudah serta lancar kepada tetamu.
Tambahnya, mereka kini boleh menggunakan perkhidmatan daftar masuk kendiri melalui airasia Super App, pelepasan tanpa sentuhan menggunakan sistem pengesahan muka FACES dan prosedur operasi standard (SOP) yang mantap bagi mengekalkan standard keselamatan tertinggi pada setiap masa.
“Penerbangan juga hanya dikendalikan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya dan ciri-ciri keselamatan di dalam pesawat menjadikan penerbangan sebagai kaedah pengangkutan yang paling selamat,” ujarnya.
Beliau berkata, pemegang pas akan dimaklumkan melalui alamat e-mel berdaftar mengenai faedah tambahan tersebut atau boleh klik pada ikon ‘Unlimited’ di airasia Super App atau layari airasia.com/unlimited untuk maklumat lanjut.
“Tempoh perjalanan adalah dari 11 Oktober 2021 hingga 30 Jun 2022 dan penebusan hanya boleh dibuat untuk penerbangan dengan kod AK.
“Tempahan mestilah dibuat 14 hari sebelum tarikh pelepasan bagi tempahan antara 27 September dan 27 Disember 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!