STAR sedia bekerjasama dengan parti lain

Jeffrey
Jeffrey
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik bagi memastikan kestabilan politik di Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan juga berharap semua parti politik khususnya parti tempatan dapat mengetepikan perbezaan dan bekerjasama sebagai satu entiti seperti Sarawak.

"Kami terbuka kepada semua cadangan dan dapat bekerjasama dengan mana-mana parti politik seperti yang dilakukan selama ini.

"Ini supaya kita menjadi lebih kuat. Saya rasa itu ideal dan suatu hari, mungkin ini akan berlaku. Marilah kita berusaha ke arah itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Usahasama Antara KOPSTAR Holdings Sdn Bhd dan Trucknet Machinery Trading Sdn Bhd di sini, pada Jumaat.

Beliau turut memaklumkan pada ketika ini terdapat perpaduan antara kerajaan dan blok pembangkang berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan isu pengembalian hak-hak Sabah.

"Selain itu, sebagai contoh di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, semua ahli-ahli DUN sebulat suara menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang mengurangkan wilayah laut Sabah dan Sarawak dari 12 batu nautika menjadi tiga batu nautika," katanya.

Jeffrey sebelum ini menyatakan bahawa beliau menentang akta itu dan menganggap bertentangan dengan perlembagaan selain menuntut agar undang-undang itu hanya terbatas di Semenanjung sahaja kerana Sabah dan Sarawak tidak pernah bersetuju dengan akta tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!