'Projek pembangunan bukan dalam hutan simpan kekal'
SHAH ALAM - Projek pembangunan berhampiran Bukit Cherakah dan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) berada di luar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, kawasan HSK yang paling hampir dengan pembangunan itu adalah Hutan Simpan Bukit Cherakah dan Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan.
Menurutnya, kedua-kedua hutan simpan itu telah diwartakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 iaitu Hutan Simpan Bukit Cherakah telah diwartakan pada 1909 seluas hampir 9,642 hektar.
"Hutan simpan ini telah dinyah warta beberapa kali sejak 1976 bagi tujuan pembangunan seperti Bandar Puncak Alam, Alam Budiman, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, dan lain-lain.
"Kini, Hutan Simpan Bukit Cherakah yang masih kekal adalah seluas 1,298.86 hektar dan masih diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebagai kelas Hutan Perlindungan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pembangunan jalan raya dan perumahan di kawasan tersebut yang ditularkan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam di media massa.
Loy Sian berkata, pembangunan yang ditularkan itu merupakan sebahagian daripada kawasan yang terlibat dengan penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah oleh kerajaan negeri terdahulu pada tahun 2006 melalui PW1443.
Justeru itu katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada masa kini tidak lagi mempunyai bidang kuasa yang khusus dalam aspek pengurusan dan pembangunan di kawasan tersebut kerana kawasan itu bukan berstatus tanah HSK.
"Pada tahun 2007, sebahagian daripada kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah yang telah dinyahwartakan tersebut telah diwartakan semula sebagai Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan dengan keluasan lebih kurang 982.80 hektar.
"Kawasan hutan simpan ini juga dikenali sebagai Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) yang merupakan antara taman rekreasi awam utama di sekitar Shah Alam.
"Pada dasarnya, dengan keluasan HSK sedia ada ini adalah masih mencukupi bagi tujuan riadah dalam kalangan masyarakat tempatan mahupun luar negara," katanya.
Katanya, kerajaan negeri Selangor pada masa kini mengamalkan proses penggantian secara serentak bagi mana-mana kawasan HSK yang ingin dinyah warta selaras dengan pindaan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri (APN) Selangor 1985 sejak 2011.
Bagaimanapun katanya, penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah tersebut telah berlaku sebelum pindaan Enakmen APN 1985 iaitu pada 2006.
" Justeru, penggantian kawasan HSK secara serentak didapati tidak diamalkan oleh kerajaan negeri pada masa tersebut.
"Hal ini membuktikan dengan jelas bahawa kerajaan negeri sekarang lebih prihatin dan komited dalam melindungi HSK di samping meningkatkan peratus keluasannya dari masa ke semasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!