52 ahli tiga sindiket ah long diberkas dalam Ops Vulture
KUALA LUMPUR - Seramai 52 individu termasuk enam wanita disyaki terlibat dengan tiga sindiket ah long ditahan dalam Operasi Vulture di Johor, Pahang, Terengganu dan Kedah pada 7 September hingga Khamis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kesemua individu berusia 15 hingga 58 tahun itu disyaki anggota sindiket kumpulan ‘Ah Han’, ‘Ah Sing’ dan ‘Jimmy’.
"Sindiket ah long itu dikesan aktif sejak 2019 menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan mensasarkan warga tempatan sebagai mangsa," katanya pada sidang akhbar melalui aplikasi Zoom pada Jumaat.
Mohd Kamarudin berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp’.
"Sasaran mereka adalah golongan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta. Kadar faedah pinjaman yang diberikan adalah 10 peratus hingga 20 peratus bagi tempoh seminggu," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Kamarudin berkata, apabila peminjam gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman, mangsa akan dihubungi oleh ahli sindiket melalui telefon dengan memberikan tekanan berbentuk ugutan dan ancaman.
"Mereka akan mengunjungi kediaman dan tempat kerja peminjam untuk melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan kekerasan jenayah ke atas harta benda milik peminjam.
"Selain itu, ahli sindiket juga akan berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman dengan menawarkan pinjaman baharu bagi menyelesaikan bayaran pinjaman terdahulu.
"Ia bagi membolehkan ahli sindiket meneruskan kontak dengan peminjam untuk memaksa peminjam membuat bayaran berlipat kali ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut merampas 24 buah kenderaan pelbagai jenama,142 buah telefon bimbit serta 178 keping kad ATM pelbagai bank.
"Kita juga merampas 25 buah buku nota mengandungi maklumat peminjam, tiga ikatan kad iklan pinjaman, empat buku cek, enam komputer riba, 52 keping risalah pinjaman wang, 42 keping kad pengenalan mengandungi notis dan nota ugutan serta wang tunai RM341,323.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2), Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), Seksyen 506, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959," katanya.
Menurutnya, orang ramai boleh membuat semakan dan pengesahan lesen pendaftaran syarikat penjaman wang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui laman web www.kpkt.gov.my dan mengetahui modus operandi jenayah komersial yang terkini di Facebook rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Kamarudin memaklumkan, pihaknya telah menerima 683 laporan berhubung kes pinjaman wang tidak berlesen dan menahan 801 ah long sepanjang Januari hingga Ogos lalu.
"Kesemua laporan yang diterima melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM2,918,031," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!