Agenda perumahan fokus utama untuk Keluarga Malaysia: PM
PUTRAJAYA - Agenda perumahan akan terus menjadi fokus utama kerajaan khususnya dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perincian mengenainya akan diumumkan kerajaan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta Belanjawan 2022 tidak lama lagi.
Katanya, ramai masyarakat cukup terkesan dengan keadaan ekonomi semasa termasuk soal perumahan sebagai tempat untuk berteduh, menjadi perkara pokok kepada Keluarga Malaysia.
"Program kediaman mampu milik seperti Projek Perumahan Rakyat (atau PPR), Perumahan PR1MA dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (atau PPAM) akan terus diperkasakan dan ditambah baik agar setiap Keluarga Malaysia ada tempat untuk berteduh.
"Saya yakin, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melihat dengan lebih strategik perancangan dan pelaksanaan program perumahan ini supaya tidak hanya boleh dibina dalam tempoh yang singkat tetapi mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Inisiatif Rumah Keluarga Malaysia atau Rumah Ikram Keluarga Malaysia yang disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Jumaat.
Turut sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Dr Ismail Abd Muttalib dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.
Katanya, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan membantu golongan rentan serta golongan belia dan anak muda untuk memiliki kediaman yang selesa serta berkualiti, sejajar dengan agenda Liveable Malaysia atau Malaysia Yang Berdaya Huni.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!