Pengangguran, peluang kerja tumpuan MPN: Muhyiddin
MUAR - Masalah pengurangan gaji dan isu pengangguran dalam kalangan siswazah antara perkara yang akan menjadi fokus utama dalam mesyuarat pertama Majlis Pemulihan Negara (MPN) Isnin ini.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu itu sudah menjadi tumpuan utama dalam negara kesan daripada Covid-19 yang menyebabkan ramai tidak bekerja atau diberhentikan.
"Perkara itu antara langkah kerajaan di bawah saya dahulu dan perlu diteruskan bagi membantu pekerja menjaga pekerjaan mereka selain memberikan subsidi kepada majikan bagi memastikan mereka tidak memberhentikan pekerja.
"Bagaimanapun pengangguran dalam kalangan siswazah tidak hanya berlaku ketika pandemik Covid-19 tetapi isu sudah lama," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh di sini pada Jumaat.
Muhyiddin berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskannya serta mencapai objektif dalam menjana 500,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan sebagaimana beliau
Objektif tersebut katanya, disasarkan semasa beliau mempengerusikan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) sewaktu menjadi Perdana Menteri.
"Saya percaya kita semakin dekat dengan sasaran kerana Malaysia ada banyak peluang pekerjaan dan ini tidak mempertimbangkan pelaburan baharu yang masuk ke negara ini.
"Pelaburan di Malaysia melonjak hingga 200 peratus daripada tahun lalu ia akan membantu menjana lebih banyak peluang pekerjaan dalam masa terdekat," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, MPN bukan sahaja menangani masalah pekerjaan tetapi membantu pekerja yang mengalami pengurangan gaji untuk meningkatkan pendapatan mereka.
"Ketika ini banyak sektor ekonomi dibuka sekali gus akan membantu mereka mendapatkan tawaran kerja yang lebih baik termasuk gaji yang lebih tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!