Penggunaan yayasan dakwa bantu politik kekal berkuasa
SHAH ALAM - Penggunaan yayasan dan sumbangan melibatkan ahli politik didakwa membantu mereka untuk terus kekal berkuasa dan menang dalam pilihan raya.
Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi, Cynthia Gabriel berkata, kajian ke atas beberapa yayasan berkaitan pemimpin politik kerajaan dan pembangkang mendapati kebanyakannya menerima jutaan dan hampir berbilion ringgit tetapi tiada hasil yang ditunjukkan.
"Ia dipercayai disalurkan ke sistem politik bagi membantu gerak kerja politik mereka," katanya dalam seminar Money Politics: Financing Free and Fair Election yang bertajuk Political Donation and Corruptions: The Elephant We Fail To See? secara maya pada Jumaat.
Turut menjadi panel, Pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh manakala Setiausaha Agung Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Raymon Ram.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh berkata, pengawalan perbelanjaan dalam pilihan raya boleh menjadi sebab pembiayaan awam dapat dijadikan sebagai pilihan ’game changer’ untuk parti politik.
Menurutnya, pembiayaan awam itu dilaksanakan oleh beberapa negara seperti di United Kingdom, Australia dan Jerman.
“Selain itu, ia juga dapat mengurangkan pengaruh dan kebergantungan kepada korporat asing serta dana swasta.
“Pembiayaan awam ini akan mempromosikan lebih banyak persaingan, menghasilkan parti dan sistem parti yang lebih stabil dan dilembagakan serta sumber pembiayaan yang lebih dipercayai dan telus,” ujarnya.
Pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo pula berkata, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) boleh mengeluarkan peraturan bahawa semua perlu mendedahkan sumbangan politik dalam bentuk wang tunai atau apa sahaja.
"Maka itu bukan soal perubahan peraturan tetapi di bawah tindakan akta tersebut," katanya.
Menurutnya, kebanyakan organisasi, yayasan dan syarikat dikawal selia oleh SSM secara sepenuhnya.
“Maka ia boleh dilaksanakan dengan segera tanpa perlu melakukan perubahan kepada undang-undang sedia ada,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!