Kadar vaksinasi pelajar IPT kini 73 peratus: KPT
SHAH ALAM - Kadar vaksinasi pelajar institusi pengajian tinggi telah mencapai 73 peratus manakala kakitangan universiti pula mencecah 91 peratus setakat Rabu, menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, peratusan tersebut adalah tinggi dan dengan itu tahap kesediaan universiti menerima pelajar dilihat sangat baik.
"Setiap universiti memiliki profil dan prosedur operasi standardnya tersendiri namun memiliki satu set kefahaman bahawa perkara (melawan Covid-19) ini serius dan ia penting untuk pelajar," katanya kepada pemberita selepas melawat Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini pada Khamis.
Lawatan itu adalah yang ketiga selepas Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia bagi melihat persediaan dan kesiapsiagaan UiTM untuk menerima kemasukan pelajar di kampus universiti itu bagi sesi akademik 2021/2022 bermula Oktober ini.
Ahmad Masrizal juga amat yakin adalah selamat untuk ibu bapa menghantar anak-anak kembali semula ke universiti kerana setiap universiti memiliki mekanisme terbaik dalam mencegah penularan Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!