Bandaraya Johor Bahru mulai dipenuhi pengunjung
JOHOR BAHRU - Peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Johor yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa pada Jumaat mula dimanfaatkan sepenuhnya rakyat di negeri ini.
Ternyata, kelonggaran diberikan ini amat ditunggu-tunggu rakyat Johor apabila sudah lebih tiga bulan sejak larangan rentas negeri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diistiharkan kerajaan Mei lalu.
Johor yang mengamalkan cuti mingguan pada Jumaat dan Sabtu berbanding negeri-negeri lain turut dilihat menjadi faktor utama rakyat di negeri ini mula membanjiri kawasan tumpuan di sekitar banda raya ini.
Tinjauan Sinar Harian di dua pusat beli belah dan Pantai Lido di sini mendapati keadaan sudah mulai penuh dengan orang ramai selain keadaan jalan raya di pusat bandar semakin sesak.
Pemerhatian di pusat membeli belah turut mendapati ruangan restoran sudah dibanjiri pengunjung selain banyak keluarga sudah mula membawa kanak-kanak mereka untuk makan bersama.
Seorang pengunjung yang ditemui, Mastika Haron, 47 berkata, dia bersama keluarga mengambil kesempatan itu untuk beriadah di pantai sambil berkelah sebagaiman sering dilakukan sebelum PKP dilaksanakan.
“Anak-anak memang selalu bertanya bila lagi boleh pergi makan ‘steamboat’ di pantai macam dahulu. Hari ini suami cuti jadi kami terus bawa anak-anak ke sini.
“Saya harap keadaan akan bertambah baik. Minggu ini kami bercadang untuk bersiar-siar di bandar dahulu, mungkin minggu depan kami akan pulang ke Segamat untuk menziarah keluarga di sana,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pantai Lido di sini pada Jumaat.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Shukry Sulaiman, 28, memanfaatkan peluang ini untuk bersiar-siar di Johor selepas tiba di negeri ini dari Melaka awal bulan lalu untuk melihat keadaan kedainya yang terpaksa ditutup sebaik arahan PKP dilaksana pada Mei.
“Saya datang sini nak periksa kedai, nak kemas-kemas sebelum kembali berniaga awal bulan depan. Alhamdulillah PKP di sini beralih ke Fasa 2 jadi sempatlah bersiar-siar dahulu sebelum balik.
“Lagipun senang kedai dah banyak buka, masih ada masa untuk cari barang berniaga, tambah balik apa yang kurang sebab dah lama tutup,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!