Ban pecah punca banjir di Kampung Lubuk Jaya
KUALA SELANGOR - Penduduk di Kampung Lubuk Jaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Belimbing berikutan kejadian ban pecah di tepi sungai di kampung itu pada Rabu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, kampung itu sebelum ini jarang dinaiki air.
Bagaimanapun katanya, penempatan penduduk berhampiran sungai dan berada di kawasan rendah antara punca berisiko tinggi dinaiki air.
"Keadaan bertambah buruk apabila hujan berterusan dan ban pecah menyebabkan berlaku limpahan air ke rumah penduduk," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas melakukan lawatan ke PPS SK Bukit Belimbing di sini pada Jumaat.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang turut menyampaikan sumbangan tambahan tambahan kepada penduduk yang terjejas.
"Sebelum ini mereka sudah menerima sumbangan. Saya difahamkan air semakin surut dan kita berharap mereka dapat pulang semula ke rumah masing-masing dalam keadaan selamat," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!