Wanita hilang lebih seminggu ditemui mati dalam parit
KULIM - Seorang wanita yang hilang lebih seminggu lalu ditemukan maut selepas keretanya terjunam ke dalam parit dekat Ladang Maryland, Jalan Batu Puteh- Sungai Kob pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, mangsa, L Hemavathi, 43, yang bekerja sebagai operator kilang, hilang sejak 16 September lalu selepas melaksanakan upacara sembahyang ke atas mendiang suami yang meninggal dunia sejak 2008 di sebuah kuil kira-kira jam 8 pagi.
Menurutnya, adik lelaki mangsa yang risau keselamatan wanita itu setelah tidak pulang ke rumah telah membuat laporan kehilangan mangsa.
"Mangsa tinggal di Kampung Penyengat, Karangan telah keluar untuk ke sebuah kuil di Taman Sepilai dengan memandu kereta jenis Honda Jazz miliknya.Bagaimanapun, mangsa tidak pulang ke rumah dan telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Sazalee berkata, kereta mangsa kemudiannya ditemui dalam sebuah parit besar berhadapan kuil kira-kira jam 8.30 pagi pada Jumaat selepas lebih seminggu dilaporkan hilang.
"Mangsa disyaki terbabas ketika melalui laluan terbabit sebelum terjunam ke dalam parit sehingga menyebabkan kereta terbalik dan terlindung dari arah jalan besar.
"Kejadian itu menyebabkan kereta mangsa remuk terutama di bahagian bumbung dan hadapan. Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk proses bedah siasat," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan, namun tiada unsur jenayah berlaku dalam insiden itu memandangkan barang kemas milik mangsa seperti rantai leher dan tangan, cincin serta pakaian masih lengkap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!