Kekalahan kepada Chelsea musim lalu matangkan Manchester City

Guardiola. - Foto AFP
Guardiola. - Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola berharap The Citizens dapat mempelajari sesuatu daripada pengalaman tewas dalam ketiga-tiga perlawanan terakhir menentang Chelsea kendalian Thomas Tuchel menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stamford Bridge pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hari ini.

The Blues menewaskan The Citizens pada aksi semi final Piala FA, Liga Perdana Inggeris dan perlawanan akhir Liga Juara-Juara tahun lalu ketika kehadiran Tuchel mengubah nasib kelab London tersebut ketika separuh musim.

Aksi di London ini juga hadir menjelang kunjungan The Citizens ke ibu kota Perancis, Paris bagi menentang gergasi Ligue 1, Paris St Germain diikuti perlawanan liga menentang Liverpool.

"Kami sejujurnya sudah bersedia untuk berdepan Chelsea sama seperti ketika berdepan Southampton dan juga kelab-kelab lain sebelum ini, malah kami akan membaca corak permainan mereka selain juga memperbaiki corak permainan kami.

"Setiap perlawanan merupakan cabaran baharu untuk pemain-pemain meningkatkan potensi diri selain mempelajari sesuatu yang baharu. Bahang perlawanan akhir merupakan suasana berbeza, Piala FA merupakan aksi berintensiti tinggi begitu juga liga, namun final Liga Juara-Juara perlawanan yang sengit.

"Kami akan belajar, kerana menentang Chelsea merupakan satu lagi proses pembelajaran, yang memerlukan kami melakukan persediaan lebih awal berdasarkan situasi kedudukan dan mata liga kelab terkini untuk menjadi lebih baik.

"Malah permikiran pemain-pemain juga perlu sama bagi perlawanan berikutnya menentang Paris St Germain dan Liverpool," ujar Guardiola.

Manchester City pada ketika ini berada pada kedudukan kelima liga tiga mata di belakang Chelsea.

Artikel Berkaitan:

Namun Guardiola mengakui bahawa saingan liga musim ini sungguh mencabar selain isu kecederaan membelenggu kelab ditambah persediaan rapi setiap pasukan.

"Terdapat dalam kalangan mereka yang kembali menjalani latihan, namun kami akan memantau situasi semasa sama ada boleh diturunkan atau sebaliknya," katanya.

Untuk rekod, Aymeric Laporte, John Stones dan Oleksandr Zinchenko termasuk Rodri antara pemain yang disisihkan ketika berdepan Southampton sebelum ini selain kecederaan masih membelenggu Ilkay Gundogan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!