Peguam persoal tindakan SPRM jalankan siasatan sendiri
SHAH ALAM- Seorang pengamal undang-undang mempersoalkan kewajaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dalaman terhadap pegawainya yang ditahan atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.
Peguam, David Gurupatham berkata, tindakan SPRM menyiasat sendiri kes tersebut bakal mencalarkan kredibiliti badan tersebut di mata masyarakat.
"Kalau kita lihat terdapat beberapa kesalahan lain dalam dakwaan tersebut seperti tuduhan mencuri, pemalsuan wang dan merosakkan bahan bukti.
"Semua kesalahan itu berada di bawah kanun keseksaan dan bukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara bersama Datuk Seri Wong Chun Wai bertajuk 'Can MACC Probe Itself' yang diadakan secara dalam talian di Facebook Chun Wai pada Jumaat.
Hadir menjadi panel pada program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.
Pada Isnin, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.
SPRM dalam satu kenyataan menegaskan bahawa suruhanjaya itu tidak akan melindungi pegawai terlibat jenayah.
Mengulas lanjut David berkata, meskipun pada mulanya SPRM mempunyai kuasa untuk menyiasat kes tersebut, namun ia tetap akan mendatangkan pelbagai persoalan oleh orang ramai.
Justeru beliau berpandangan, kes tersebut perlu diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab bagi menyiasat dakwaan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!