Rumah Ikram Keluarga Malaysia harapan insan hilang tempat berteduh
RAKYAT Malaysia yang tidak mampu membayar sewa rumah ketika Covid-19 kini tidak perlu risau untuk mencari tempat tinggal baharu susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia yang dikenali sebagai Rumah Ikram Keluarga Malaysia, pada Jumaat.
Rumah Ikram Keluarga Malaysia itu akan menjadi teduhan kepada Keluarga Malaysia yang kehilangan tempat tinggal akibat kehilangan pekerjaan dan kekurangan pendapatan.
Ia termasuk keluarga yang terdesak menumpang di rumah saudara mara kerana terpaksa keluar dari rumah sewa.
Untuk rekod, Rumah Ikram Keluarga Malaysia tersebut turut disediakan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor dengan kadar sewa minimum RM124 sebulan bagi tempoh maksimum dua tahun.
Dalam pada itu menurut Ismail Sabri, di bawah inisiatif tersebut, kerajaan bersetuju untuk menambah bilangan unit daripada 1,000 pada permulaan kepada 2,000 unit, yang akan membolehkan kira-kira 10,000 isi rumah mendapat manfaat daripadanya.
Selain itu katanya, semua penerima manfaat tersebut akan diberikan pengecualian bayaran sewa sehingga enam bulan bermula dari tarikh menerima kunci bagi mengurangkan tekanan dan bebanan kepada penerima inisiatif tersebut.
Tidak terhenti di situ, sempena pelancaran inisiatif tersebut, kerajaan turut mengumumkan program moratorium bayaran sewa kepada penghuni PPR sedia ada di bawah kawal selia dan pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan diteruskan sehingga akhir 2022.
Langkah itu, dilihat akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 ketua isi rumah atau 50,000 penghuni PPR yang melibatkan tanggungan kewangan kerajaan berjumlah RM18.84 juta.
Apa yang pasti, langkah dan pendekatan diperkenalkan melalui inisiatif tersebut dilihat tepat pada masanya kerana ramai rakyat Malaysia terkesan akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
Diharap dengan inisiatif begini, ia dapat memberi keyakinan kepada rakyat untuk bekerjasama dengan kerajaan membantu memulihkan negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!