Hina nabi: Pemuda PH Kedah buat laporan polis
ALOR SETAR - Empat laporan polis dibuat pada petang semalam di IPD Kota Setar yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap dua individu yang menghina Nabi Muhammad SAW dan umat Islam Melayu di negara ini.
Exco Armada Pusat, Muzzammil Ismail berkata, beliau dimaklumkan oleh rakan-rakannya mengenai dua individu berkenaan iaitu Alvin Chao telah melakukan perbuatan sensitif tersebut di twitter manakala seorang lagi Danny Antonio Jr di laman media sosial Facebook pada tengah hari semalam.
"Sebagai umat Islam, wajib untuk pertahankan Rasullulah SAW tanpa syarat, ini ketegasan yang kita mahu agar pihak kerajaan dan berkuasa khususnya mengambil tindakan berdasarkan akta ataupun kanun keseksaan yang sewajarnya," katanya kepada Sinar Harian.
Tiga lagi pihak yang turut membuat laporan yang sama adalah dari Pemuda PH Kedah melalui Zulfadli Hussin, Armada Bersatu Kedah melalui Mohd Saffuan Sabari dan PKR Kedah melalui wakilnya, Noorzanarudin Syah Zakaria.
Muzzammil berkata, pihaknya berharap kes ini akan diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa dengan tidak melepaskan individu-individu agar mereka bertanggungjawab kerana mampu mencetus keharmonian dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Sebelum ini, beberapa laporan polis telah dibuat kepada pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Foo Sing Wai yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.
Bagaimanapun, dia atau nama sebenarnya Wai Foo Sing, 68, tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menghina Nabi melalui imej kartun yang dimuat naik ke Facebooknya dan didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun.
Bagi pertuduhan ke-2 pula di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan multimedia 1998, Foo Sing didakwa memuat naik kandungan jelik melalui Facebook dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Hakim, MM Edwin Paramjothy menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 April untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!