Penunggang jatuh tengah jalan, maut dirempuh kenderaan lain
HULU SELANGOR - Seorang penunggang motosikal maut akibat dilanggar kenderaan lain selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 418 arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan di sini pada malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.30 malam berhubung kejadian tersebut.
"Kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggang seorang lelaki tempatan terbabas dan terjatuh di lorong tengah kemudian datang sebuah lori yang tidak sempat mengelak, terus melanggar motosikal menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar.
"Kemudian dua buah kereta jenis Perodua Alza dan Proton Iswara yang tidak sempat mengelak melanggar mangsa yang berada di atas jalan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Arsad, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat pelanggaran tersebut dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.
Dalam pada itu, beliau meminta saksi kejadian supaya menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!