MOSTI sasar 5,000 peluang pekerjaan tahun depan
SEREMBAN- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mensasarkan 5,000 peluang pekerjaan pada tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, seramai 4,145 individu dalam bidang 'deeptech' (deep technology) dan berkaitan berjaya mendapat pekerjaan melalui inisiatif MOSTI bermula awal Januari hingga 31 Ogos lepas.
"Sasaran sebanyak 4,700 peluang pekerjaan menerusi inisiatif tersebut diyakini dapat dicapai sebelum akhir tahun ini.
"Kita menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan pelaksanaan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia supaya lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai melawat Program Ruang Reka Komuniti dan Platform Hub Ekonomi Inovasi Sosial Negara di Taman Rasa Sayang di sini pada Sabtu.
Katanya, MOSTI sebagai ahli tetap Majlis Pekerjaan Negara (NEC) memberi tumpuan kepada kluster 'Deeptech' and 'Future Skills' yang memainkan peranan penting untuk memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden selain mempercepat penerapan teknologi seperti Artificial Intelligence (AI), automasi dan dron.
"Usaha berkenaan akan menambah peluang pekerjaan dan menjana pendapatan demi meningkatkan kesejahteraan keluarga Malaysia," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai Program Ruang Reka, ia bertujuan menggalakkan lebih ramai kalangan B40 dan M40 terutama mereka yang terkesan akibat dari pendemik Covid-19 untuk menceburi bidang keusahawanan berlandaskan sains, teknologi dan inovasi (STI).
" MOSTI komited dalam menyediakan satu platform inovasi sosial akar umbi yang dapat memacu etno-teknologi masyarakat tempatan yang berpotensi dikomersialkan untuk menjana kekayaan baru dan pembangunan sosio-ekonomi lebih terangkum," katanya.
Program Ruang Reka tersebut dikendalikan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) iaitu sebuah agensi di bawah MOSTI dengan aspirasi menyemai dan membudayakan inovasi malah YIM mengerakkan pelbagai inisiatif ke seluruh negara untuk meningkatkan taraf hidup serta pendapatan komuniti setempat melalui aktiviti pengkomersialan.
Adham berkata, YIM membangunankan dua projek rintis Ruang Reka termasuk Ruang Reka Taman Rasa Sayang di sini dan Ruang Reka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di Kuala Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!