Perjalanan politik selepas PRU14 beri pengajaran kepada BN: Ahmad Zahid
SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) melepasi fasa fitnah dan kini bergerak lebih maju serta berketerampilan untuk terus mentadbir semula negara dengan lebih cemerlang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti tersebut sedang lebih progresif, cakna dan arif berdasarkan pengalaman, kesedaran serta keinsafan baharu.
“Perjalanan politik tanah air selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 banyak memberi pengajaran kepada Barisan Nasional (BN).
“Situasi itu mengajar BN betapa getirnya mendepani fitnah dan kesetiaan seperti bahayanya gunting dalam lipatan.
“Namun, mutakhir ini, BN telah melepasi ujian tersebut. Fasa demi fasa dilalui, BN kini bergerak lebih maju dan keterampilan. BN sedang tampil lebih progresif, cakna dan arif berdasarkan pengalaman, kesedaran serta keinsafan baharu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, rakyat perlu yakin dan percaya dengan parti tersebut kerana pencapaian (track record) menerajui negara sejak beberapa tahun lalu membuktikan ekonomi, kebajikan rakyat dan perpaduan negara terpelihara.
“Seluruh rakyat Malaysia perlu yakin BN mampu mentadbir semula negara ini dengan cemerlang. Bersama-sama kita bermula dari sekarang. Bergandingan bahu bersama BN mengembalikan kemakmuran yang pernah kita kecapi,” kata Ahmad Zahid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!