Kenal pasti punca kes BID naik mendadak
SHAH ALAM - Otai Reformis 1988 menggesa kerajaan supaya segera mengenal pasti punca sebenar berlakunya kes kematian di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID) akibat jangkitan Covid-19 di negara ini yang berterusan sehingga kini.
Otai Reformis 1988 dalam kenyataannya turut menyifatkan kes BID agak membimbangkan berdasarkan statistik dikeluarkan kerajaan.
Menurut kenyataan itu, terdapat 517 kes BID yang melibatkan kes di Sabah sebanyak 25.92 peratus, Pulau Pinang (17.60 peratus) dan Johor 17.41 peratus setakat 5 hingga 18 September.
"Dalam tempoh sama, di Selangor pula mencatatkan10.83 peratus, Perak (5.03 peratus) dan Kelantan pula 3.68 peratus berdasarkan sumber GitHub Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 21 September," kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Otai Reformis 1998, Dr Idris Ahmad dan Setiausahanya, Abdul Razak Ismaii.
Menurut kenyataan itu, Otai Reformis 1988 sangat terkesan dan sedih dengan laporan media terhadap kes BID.
Tambah kenyataan itu, Otai Reformis 1988 juga menggesa satu ‘post-mortem’ oleh pihak ketiga yang bebas serta 'pendengaran awam' oleh Suruhanjaya Diraja dilakukan untuk mengenal pasti punca peningkatan mendadak kes BID.
"Sungguh memeranjatkan jumlah kumulatif kes BID setakat 23 September ialah 4,809 orang. Otai Reformis 1988 dan rakyat Malaysia ingin mengetahui apakah punca berlakunya kes-kes BID ini," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!