Bersatu teruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui Perikatan Nasional (PN) akan meneruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam demi kemakmuran rakyat semua bangsa dan agama.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu perlu dibuat meskipun UMNO belum menyatakan pendirian jelas sama ada mahu terus bersama gabungan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang atau sebaliknya.

Menurutnya, selebihnya hanya rakyat yang akan membuat pilihan parti yang mahu disokong mereka.

"Fokus kita adalah PN, kuatkan PN untuk jaga rakyat dan memulihkan negara.

"PN tidak akan terkesan sekiranya ada pertembungan banyak penjuru. Kita akan jalan terus bersama 'founding partners' kita dalam PN iaitu Pas, Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia), SAPP (Parti Maju Sabah) dan STAR (Parti Solidariti Tanah Airku)," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat dilaporkan berkata, UMNO tidak mempunyai pendirian yang jelas sama ada bersama PN atau mempunyai pilihan tersendiri bagi menghadapi PRU15 nanti.

Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu, walaupun mempunyai hubungan dalam kerajaan di peringkat nasional dan negeri, namun UMNO tidak menyatakan pendirian mereka dan semuanya bergantung kepada pilihan mereka.

Katanya, dalam menuju PRU15 juga, PN tidak akan terganggu dengan sebarang kemungkinan pertembungan pelbagai penjuru.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, PN sebelum ini telah meletakkan standard yang tinggi kepada negara.

"Kita bertegas kepada isu ketelusan, integriti, menolak salahlaku dan menolak penyelewengan.

"Saya menyeru semua komponen PN untuk membina jentera pilihan raya secara bersama. Semangat ukhuwah dan Keluarga Malaysia harus kita jiwai serta zahirkan dalam perjuangan membela rakyat. Jangan berpecah. Bina kekuatan parti dan gabungan kita demi rakyat," katanya.

Tegas beliau, PN mesti bergerak bersama dan mengaturkan aktiviti secara bersama di seluruh negara supaya rakyat nampak bahawa mereka benar-benar ikhlas menjaga perpaduan dan kestabilan dalam negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!