Samenta gesa kerajaan buka semula sektor acara perniagaan
KUALA LUMPUR - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan untuk membuka semula sektor acara perniagaan secepat mungkin untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pulih.
Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan Samenta, Datuk William Ng berkata, sekatan pergerakan yang berpanjangan telah menyebabkan kebanyakan PKS kehabisan tunai, dengan banyak yang memberhentikan pekerja mereka.
Katanya, sekatan operasi turut menyebabkan ramai pelanggan global memilih vendor dari pasaran lain berbanding pembekal Malaysia.
“Bagi memastikan PKS kita dapat kembali ke rantaian bekalan global dengan cepat dan memperoleh bahan mentah dan peralatan, kami memerlukan pameran perdagangan dan persidangan perniagaan untuk bersidang semula.
“Sumber internet tidak berkesan seperti pameran perdagangan secara fizikal untuk mendapatkan pelanggan dan vendor baharu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Samenta berharap kerajaan akan mengambil serius terhadap gesaan ini berikutan semua orang perlu mengambil bahagian dan berusaha lebih keras untuk mendapatkan kelebihan yang dimiliki sebelum ini.
“Tolong beri kami kaedah dan saluran yang sesuai untuk melaksanakannya. Sektor acara perniagaan bukan hanya penting kepada ribuan PKS dalam industri itu, tetapi turut bertindak sebagai pemangkin dan pengganda ekonomi,” katanya.
Samenta menyertai Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (Maceos), Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM) serta Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, menggesa pembukaan semula sektor acara perniagaan dengan cepat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!