Apek masih bersemangat sarung jersi Malaysia

Khairul Fahmi Che Mat
Khairul Fahmi Che Mat
A
A
A

MELAKA - Penjaga gol Melaka United FC Khairul Fahmi Che Mat mengakui teruja dan bersemangat untuk kembali menyarung jersi kebangsaan, sekali gus berjanji akan mempamerkan aksi terbaik bagi menjamin tempatnya dalam senarai akhir bagi kejohanan akan datang.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Apek’ merupakan antara 24 nama pemain yang dipanggil ke skuad kendalian Tan Cheng Hoe, bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan awal bulan depan, sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Suzuki AFF 2020 dan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023.

Pemain berusia 32 tahun itu berkata, saingan merebut posisi berkenaan dilihat amat sengit dengan nama-nama baharu seperti Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan pemain berpengalaman Khairulazhan Khalid selain Farizal Marlias dan Samuel Somerville.

“Kem latihan pusat ini seperti kita tahu adalah medan untuk ketua jurulatih menguji pemain-pemain dan sebagai persiapan awal bagi membentuk skuad terbaik Harimau Malaya.

“Saya juga dikira baharu kerana telah lama tidak beraksi dalam skuad kebangsaan dan dengan peluang yang diberikan ini sudah pasti akan membalas kepercayaan ketua jurulatih,untuk berada dalam pasukan utama nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pemain berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, kem latihan pusat berkenaan juga merupakan peluang buat dirinya mempertingkatkan prestasi, selain optimis untuk meyakinkan Cheng Hoe yang beliau masih mampu bersaing dengan pemain lain dan layak berkhidmat kepada pasukan negara.

“Kita tahu tahun ini ramai penjaga gol yang bagus-bagus dalam Liga Malaysia, namun saya akan cuba berusaha bersungguh-sungguh untuk berada dalam Skuad Harimau Malaya bagi kejohanan akan datang kerana itu sasaran saya,” katanya.

Beliau yang masih berduka atas kehilangan ibu tercinta, Bidah Ibrahim akibat Covid-19 baru-baru ini berkata, semangat dan sokongan arwah yang sentiasa mengiringinya sepanjang karier bola sepak akan terus diingati.

Artikel Berkaitan:

“Selalunya arwah yang sentiasa mendoakan saya dan selalu bagi sokongan bila tahu saya akan mewakili Malaysia, tetapi ini kali pertama saya tanpanya namun semangat ini yang saya akan bawa,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini turut mengumumkan Malaysia akan bertemu Jordan di Stadium King Abdullah II, Amman pada 6 Oktober dan Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman pada 9 Oktober depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!