Segerakan Akta Pendanaan Politik: TI-M
SHAH ALAM - Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap proses demokrasi di Malaysia.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, kegagalan untuk berbuat demikian dikhuatiri menyebabkan demokrasi Malaysia terganggu selain akan meningkatkan kes korupsi dalam arena politik tanah air.
“Jika tiada akta ini, demokrasi di Malaysia akan terganggu melalui pembelian undi oleh ahli politik dan akan memberi kelebihan buat diri mereka untuk bertanding bersama pesaing.
“Jadi kita perlu mengatur semula akta pendanaan politik untuk kurangkan korupsi, pengundian dapat dilakukan dengan telus selain memberi peluang sama rata kepada calon yang bertanding pada pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada webinar Money Politics: 'Reform for Electoral Campaign Financing, Clean Up Time?' pada sabtu.
Hadir sama sebagai panel ialah pakar ekonomi, Dr Edmund Terence Gomez; Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Thomas Fann; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, manakala Alan Kirupakaran bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut beliau berkata, Akta Pendanaan Politik merupakan salah satu inisiatif utama dalam Rancangan Anti-rasuah Nasional 2019-2023 yang dimulakan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), namun tidak dapat dilaksanakan akibat perubahan kerajaan.
Jelasnya, meskipun kecewa dengan keputusan tersebut, namun ia tidak sama sekali menjatuhkan semangat pihaknya untuk sentiasa berusaha dalam memastikan akta tersebut dapat dilaksanakan di Malaysia suatu hari nanti.
“Kami harap semua pihak akan terus menyokong inisiatif untuk mendorong reformasi institusi ini kerana ia adalah kunci untuk memajukan Malaysia.
“Bukan sekadar mendorong akta pendanaan politik, tetapi pembaharuan lain seperti reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk kebebasan yang lebih besar dan pemisahan kuasa antara Peguam Negara serta pendakwa raya harus disokong,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!