Manchester United rebah lagi di Old Trafford
REKOD tanpa kalah Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) lebur musim ini selepas dijinakkan Aston Villa 1-0 pada perlawanan di Old Trafford malam ini.
Tandukan pemain pertahanan Aston Villa, Kortney Hause pada minit ke-88 sudah cukup membolehkan skuad kendalian Dean Smith mencatat kemenangan ketiga liga musim ini.
Tuah ternyata tidak memihak The Red Devils pada perlawanan ini apabila Bruno Fernandes gagal menyempurnakan sepakan penalti setelah sepakannya melewati palang gol pada minit ke-93.
Kekalahan di laman sendiri itu juga menyaksikan skuad Ole Gunnar Solskjær gagal bangkit daripada kekalahan 0-1 kepada West Ham United dalam perlawanan Piala Liga di gelanggang sama sebelum ini.
Keputusan di Old Trafford itu membolehkan Aston Villa kini mengumpul 10 mata manakala Manchester United pula kekal 13 mata selepas masing-masing mengharungi enam perlawanan liga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!