Anak pengasas Huawei akhirnya bebas
BEIJING - Drama ekstradisi yang memburukkan hubungan antara China dan Amerika Syarikat (AS) sudah berakhir selepas Ketua Kewangan Huawei (CFO), Meng Wanzhou akhirnya dibebaskan setelah mencapai perjanjian dengan pendakwa raya di Washington pada Jumaat.
Beberapa jam selepas itu, dua warga Kanada yang diberkas tidak lama selepas penahanan Wanzhou, 49, pada Disember 2018 turut dibebaskan.
Di bawah perjanjian itu, Washington dilaporkan bersetuju dengan keputusan pendakwaan ditangguhkan ke atas Wanzhou berhubung kes penipuan bank yang dihadapinya.
“Beliau mengaku bertanggungjawab atas peranan utamanya dalam melakukan skim untuk menipu institusi kewangan global,” ujar pemangku pendakwa raya di Brooklyn, Nicole Boeckmann sambil menambah AS juga merancang menarik balik permintaan ekstradisi wanita tersebut.
Kesepakatan itu dicapai ketika perbicaraan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn yang dihadiri Wanzhou secara maya dari Kanada.
Menurut pembantu pendakwa raya AS, David Kessler, Washington akan menggugurkan tuduhan ke atas beliau jika wanita itu mematuhi kandungan perjanjian tersebut yang berakhir pada Disember 2022.
Susulan itu, seorang hakim Kanada menandatangani perintah pembebasannya dan Wanzhou turut mengucapkan terima kasih atas ‘keadilan’ terhadap kes itu yang telah mengakibatkan hidupnya menjadi huru-hara.
Jurucakap syarikat gergasi teknologi di China dalam satu kenyataan enggan mengulas lanjut tentang perkara berkenaan dan hanya mengesahkan anak kepada pengasas Huawei, Ren Zhengfei itu sudah tiba di negara itu setelah menaiki penerbangan pulang ke Shenzhen.
Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudea memaklumkan ahli perniagaan, Michael Spavor dan bekas diplomat, Michael Kovrig sudah dihantar pulang ke Ottawa.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada sekutu dan rakan kami dalam kalangan komuniti antarabangsa yang telah menzahirkan solidariti dengan kami,” ujarnya. - Agensi
Info
- Wanzhou ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver pada Disember 2018 atas permintaan AS ketika beliau mahu menaiki penerbangan transit ke Mexico.
- Beliau didakwa melakukan penipuan terhadap HSBC berhubung urus niaga Huawei di Iran. Wanzhou dan Huawei menafikan tuduhan itu.
- Wanzhou dibebaskan dengan ikat jamin dan diletakkan di bawah tahanan rumah sementara menunggu perbicaraan ekstradisi pada Januari 2020. Prosiding itu berakhir pada pertengahan Ogos lalu tanpa sebarang keputusan.
- Wanzhou menjalani tahanan rumah selama hampir tiga tahun di kediaman mewah miliknya di Vancouver yang turut dilengkapi kawalan keselamatan ketat.
- Wanita yang diberi julukan ‘Puteri Huawei’ oleh media di China itu turut diarahkan memakai gelang kaki elektronik untuk mengawasi pergerakannya.
- Spavor dan Kovrig ditahan di Beijing selama lebih 1,000 hari. Pada Ogos lalu, sebuah mahkamah di China menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun ke atas Spavor atas tuduhan mengintip.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!