'Limpahan cecair bewarna merah bukan darah'

Mohamad Taufek (kanan) ketika meninjau keadaan di lokasi pada petang Sabtu. - Foto ADUN Paroi, Mohamad Taufek
Mohamad Taufek (kanan) ketika meninjau keadaan di lokasi pada petang Sabtu. - Foto ADUN Paroi, Mohamad Taufek
A
A
A

SEREMBAN - Isu limpahan air bewarna merah yang berlaku di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights di Senawang di sini seperti yang tular baru-baru ini sebenarnya bukan darah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, pihaknya bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Mineral dan Geosains telah melakukan lawatan ke tapak perkuburan tersebut pada petang Sabtu.

"Berdasarkan penerangan yang diberikan, kawasan perkuburan tersebut mempunyai aliran mata air dan kandungan tanahnya mempunyai batuan bewarna merah sekali gus apabila ia bercampur telah mengakibatkan berlaku limpahan air berwarna merah di kawasan itu.

"Selain itu, kawasan tapak tanah perkuburan tersebut dahulunya adalah kawasan berpaya dan memang sering berlaku limpahan air terutama ketika waktu hujan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Mohamad Taufek berkata, selepas mengambil kira perkara tersebut, pihak MBS membuat keputusan untuk menutup tanah perkuburan tersebut kerana lot tanah yang tinggal tidak lagi sesuai untuk dikebumikan jenazah.

"Tanah perkuburan tersebut akan ditutup sementara sehingga kerja-kerja pembinaan teres di sebidang tanah yang terletak bersebelahan tanah perkuburan itu siap.

"Tanah itu juga akan digunakan sebagai tapak tanah perkuburan. Kerja-kerja pembinaan teres sedang dilakukan bagi mengelakkan berlakunya hakisan di tanah tersebut, ia dijangka siap kira-kira dua bulan lagi.

"Buat sementara Tanah Perkuburan Islam Forest Heights akan ditutup bagaimanapun aktiviti ziarah masih boleh dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu urusan pengkebumian jenazah umat Islam di kawasan sekitar seperti di Paroi dan Senawang akan dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam di Bandar Ainsdale.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila ramai dalam kalangan pelayarnya tertanya-tanya keadaan sebenar Tanah Perkuburan Islam Forest Heights selepas beberapa keping gambar dimuat naik memaparkan limpahan cecair bewarna merah seakan darah dan juga minyak sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!