Periksa kesihatan pemandu warga emas: Pakar
SHAH ALAM - Pakar kesihatan menyambut baik cadangan pihak polis agar kerajaan mengenakan syarat khas sebelum warga emas dapat memperbaharui lesen memandu.
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, cadangan itu relevan dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Menurut beliau, ini kerana terdapat beberapa penyakit berkaitan penglihatan, kognitif dan urat saraf yang lazimnya dialami oleh warga emas berumur 60 tahun dan berpotensi untuk menyebabkan perkara yang tidak diingini semasa memandu.
“Antara perkara yang perlu dipertimbangkan dalam pemeriksaan kesihatan adalah penyakit penglihatan seperti katarak, rabun disebabkan oleh kencing manis dan rabun warna.
“Bagi perkara berkaitan saraf pula, doktor perlu mempertimbangkan penyakit seperti strok minor, parkinson dan juga masalah lemah otot.
Sementara itu, Pakar kesihatan awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh pula berkata, langkah tersebut memang sepatutnya dilaksanakan kerana kajian di luar negara menunjukkan warga emas merupakan antara kumpulan usia utama yang menyumbang kes kemalangan.
“Di Jepun misalnya, umur 75 tahun ke atas perlu menjalani ujian kognitif utk meneruskan lesen setiap tiga tahun. Malah ada juga yg dipaksa menyerahkan kebenaran memandu mereka kerana sudah lupa kemahiran itu dan membahayakan orang ramai,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dr Sharifa mencadangkan supaya pemeriksaan kesihatan memandu berkala tiga tahun sekali dilaksanakan kepada warga emas yang berusia 65 tahun ke atas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!