Orang ramai lepas gian beli-belah
TEMERLOH - Peralihan negeri Pahang ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat lalu dilihat turut memberikan kesan positif antaranya dalam sektor ekonomi selepas sekian lama terjejas akibat pandemik Covid-19.
Tinjauan Sinar Harian ke sebuah pusat beli-belah di Mentakab pada petang Sabtu mendapati, orang ramai mengambil peluang hujung minggu melepaskan gian membeli-belah secara fizikal.
Faktor cuti selain peralihan fasa menyebabkan orang ramai bukan sahaja dari daerah ini, malah daerah berhampiran tidak melepaskan peluang membeli-belah.
Seorang pekerja kios komestik, Emilia Natasha Faharurazi, 20 memberitahu, jumlah kehadiran pengunjung bertambah sejak beberapa hari lalu.
"Pagi tadi (Sabtu) memang nampak ramai dan jualan pun positif berbanding sebelum ini.
"Macam kios di sini, kami kembali beroperasi pada 16 September lalu selepas ditutup sekian lama," katanya pada Sinar Harian.
Pekerja kios pakaian wanita, Norhaliza Mohd Fadzil, 23, mendakwa jualan mereka bertambah sejak dua minggu lalu.
Ujarnya, jumlah kehadiran pengunjung semakin bertambah dan berharap situasi tersebut berterusan.
Sementara itu, bagi seorang petugas barisan hadapan, Mimi Hazlin Mohamed, 45, dia mengambil peluang tersebut untuk mendapatkan keperluan khususnya untuk anak-anaknya.
"Memang lain macam kerana sebelum ini banyak membeli-belah dalam talian, apabila dapat peluang dan kebetulan cuti, saya bawa anak-anak namun bukan semua kerana rasa risau tetap ada selain masih tidak berani rentas daerah.
"Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tidak boleh diambil mudah walaupun Pahang sudah beralih fasa," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, seorang peniaga, Nor Shuhada Ariffin, 29, mengambil peluang merentas daerah dari Jerantut untuk membeli-belah di pusat tersebut bersama ahli keluarganya.
"Gembira memang gembira bila dapat peluang sebegini sebab sudah lama tidak dapat membeli-belah secara fizikal.
"Namun paling utama, patuhi SOP ditetapkan untuk memastikan keselamatan keluarga kerana sedar jangkitan Covid-19 boleh berlaku bila-bila masa," jelasnya.
Bagi seorang pekerja swasta, Rosmaini Abu Bakar, 38, dia juga tidak melepaskan peluang tersebut untuk mendapatkan barangan keperluan dan pilihan selepas sekian lama tidak dapat berbuat demikian.
"Memang dah berbulan saya tidak membeli-belah sebegini, rasa teruja tetapi SOP masih tidak boleh diambil mudah dalam situasi sekarang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!