Lukaku tak salah
PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel mempertahankan Romelu Lukaku selepas penyerangnya itu gagal meledak gol dalam kekalahan 0-1 kepada Manchester City di Stamford Bridge pada Sabtu.
Menurut Tuchel, pemain The Blues gagal untuk mencipta gerakan yang baik sekali gus tidak dapat memberikan hantaran berkualiti kepada Lukaku untuk disudahkan pemain kelahiran Belgium itu.
Lukaku dilihat gagal untuk mencipta gerakan berbahaya dalam kawasan penalti City selain hanya melakukan 21 sentuhan bola sepanjang perlawanan -angka yang paling sedikit jika dibandingkan dengan pemain lain dalam kesebelasan utama.
"Saya rasa kita tidak perlu untuk bercakap mengenai kenapa Romelu agak bergelut hari ini.
"Ketika bola sampai di Romelu, serangan itu sudah berakhir kerana tidak cukup pemain (dalam kawasan City) dan tidak ada kepercayaan. Ini adalah masalah pasukan, bukan masalah individu," katanya.
Dalam perlawanan itu, gol tunggal Gabriel Jesus pada minit ke-53 sudah cukup untuk memberikan tiga mata kepada The Citizen sekali gus memadam badi tiga kekalahan berturut-turut kepada skuad kendalian Tuchel itu.
Mengulas lanjut, Tuchel turut menjelaskan tindakannya bermain secara bertahan dan menggunakan formasi 5-3-2 dalam perlawanan tersebut.
"Kita boleh berdebat panjang untuk mencari jawapan. Kita membuat keputusan gunakan 5-3-2, tetapi saya tidak rasa ia berkaitan struktur ketika menentang City. Ia lebih kepada pemain membuat keputusan, mengadaptasi ruang lawan dan mencipta peluang.
"Kami menang bersama, kami tewas bersama. Saya akan menilai keputusan saya sama ada ia percaturan yang betul tetapi saya tidak pasti ia menjadi faktor kepada keputusan perlawanan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!