Jangan cuai jaga anak jika tak mahu dikenakan tindakan
KULAI - Kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun yang ditinggalkan bersendirian oleh ibunya dalam rumah yang berkunci di Perlis, disifatkan sebagai kes kecuaian.
Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, tindakan tersebut juga jelas menunjukkan satu pengabaian apabila seorang kanak-kanak ditinggalkan bersendirian.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menyelamatkan kanak-kanak itu dan dia kini di bawah jagaan JKM, selain kes ini masih di bawah siasatan polis.
"Jadi saya tak nak komen mengenai siapa yang bersalah, tapi memang jelas ada kes kecuaian dimana kanak-kanak diabaikan dan itu yang kita boleh lihat berdasarkan berita dibaca," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 Peringkat Johor di IOI Mall Kulai, Bandar Putra, Kulai, di sini, hari ini.
EXCO Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.
Hannah berkata, dengan adanya Akta Kanak-Kanak 2001, tindakan pendakwaan boleh diambil ke atas ibu bapa atau penjaga yang melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak.
Semalam media melaporkan, polis menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dipercayai dikurung ibunya dalam kejadian di Kangar, Perlis.
Susulan itu, polis turut menahan wanita berusia 31 tahun dipercayai ibu kanak-kanak terbabit di rumah berkenaan bagi membantu siasatan, pagi tadi.
Kejadian menimpa kanak-kanak itu disedari jiran apabila dia memberitahu dirinya lapar kerana ibunya tiada di rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!