Projek bina rumah diarah henti operasi
IPOH - Kerja pembinaan rumah di sebuah tapak pembangunan di Klebang Restu dihentikan sementara berikutan kematian seorang pekerjanya, semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 3.50 petang itu, Mia Md Ripon, 34, warga Bangladesh maut selepas terjatuh dari ketinggian enam meter ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan tangki kumbahan.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu berpunca daripada kegagalan pepasangan perancah yang dipasang di kawasan tapak bina berkenaan.
Menurutnya, ketika kejadian, didapati perancah yang digunakan hampir tumbang menyebabkan mangsa yang baru dua bulan bekerja di tapak terbabit terjatuh dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"JKKP akan menjalankan pemeriksaan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kejadian, sekiranya didapati terdapat pelanggaran dari segi peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ataupun Akta Kilang dan Jentera 1967, tindakan mahkamah akan dikenakan.
"Berdasarkan maklumat awal kita perolehi, kematian mangsa adalah disebabkan jatuh dari tempat yang tinggi," katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan berkenaan, hari ini.
Beliau berkata, tapak pembinaan yang memulakan operasi pada Januari 2018 itu pernah dikenakan 52 notis termasuk 39 notis larangan atas pelbagai ketidakpatuhan.
"Notis ini kita keluarkan ketika pemeriksaan tapak dibuat bulan lalu dan sehingga hari ini, semua notis masih belum dibatalkan," katanya.
Jelasnya, hasil pemeriksaan dibuat hari ini juga mendapati keadaan tapak kurang memuaskan dan berlaku kelemahan dari segi pengendalian perancah termasuk penandaan perancah yang selamat untuk digunakan.
"Perancah ini digunakan sebagai pelantar antara bangunan, jika tak stabil akan jatuh sebab itu pemeriksaan berkala perlu dilakukan oleh pihak kompeten.
"Notis sebelum ini tidak melibatkan pemberhentian kerja kerana kita berharap mereka lakukan pembaikan dengan segera, tapi bila berlaku kematian seperti ini yang melibatkan perancah, kita arahkan penutupan dibuat kerana bimbang berlaku lagi kemalangan sama," katanya.
Zamzurin berkata, tempoh pemberhentian operasi itu adalah sehingga semua notis yang dikenakan sebelum ini dibatalkan.
Katanya, JKKP akan memanggil kontraktor utama, pengurus projek dan pengarah syarikat terlibat untuk hadir memberikan taklimat tindakan pembaikan yang akan diambil.
"Lagi cepat mereka lakukan pembaikan, lagi cepat kita batalkan notis dan benarkan kerja-kerja di tapak dimulakan.
"Tetapi bermula hari ini, dua pintu laluan masuk ke tapak ini akan ditutup dan kita telah pun arahkan semua lori serta kren dibawa keluar, kita tidak mahu mereka jalankan operasi tanpa pengetahuan kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!