Selangor sokong PBT kompaun pengunjung langgar SOP
KLANG - Kerajaan Selangor menyokong tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bakal mengenakan kompaun kepada mana-mana pengunjung yang tidak mematuhi prosedur standard operasi (SOP) di tempat pelancongan dalam negeri tersebut.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, PBT berhak untuk berbuat demikian kerana ia termaktub dalam undang-undang yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, PBT perlu bertindak sedemikian untuk mengawal kesesakan di tempat pelancongan di Selangor bagi mengelakkan penyebaran virus Covid-19.
“Kita nampak sekarang ada beberapa lokasi yang sukar dikawal, jadi kita terpaksa mengeluarkan saman kepada pengunjung yang gagal mematuhi SOP.
“Kita terpaksa buat begitu (kompaun pengunjung yang langgar SOP) kerana PBT mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah peruntukan MKN, jadi mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian,” katanya pada sidang akhbar Program Penutupan Program PRO500 Trees Sentosa di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Loy Sian turut menasihati pengunjung yang membawa anak-anak yang masih belum divaksin ke tempat tumpuan ramai kerana golongan tersebut berisiko untuk dijangkiti Covid-19.
Beliau berkata, ini kerana dalam sitausi ketika ini tindakan untuk membawa anak-anak mereka keluar bersiar-siar masih belum sesuai walaupun Malaysia sedang memasuki fasa endemik.
“Sekarang kita lihat ramai orang membawa anak-anak yang masih belum divaksinkan dan mereka berisiko dijangkiti Covid-19. Jadi saya berharap ibu bapa tidak terlalu ghairah untuk membawa anak kecil melancong buat masa ini kerana masanya masih belum sesuai.
“Pastikan sudah lengkap dua dos vaksin dan hanya keluar melancong selepas 14 hari daripada tarikh terakhir menerima suntikan,” katanya.
Pada Sabtu, MPSepang dilaporkan akan mengenakan tindakan lebih tegas ke atas pengunjung di Pantai Bagan Lalang, di sini yang gagal mematuhi SOP bermula minggu hadapan.
Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, melalui pemantauan selama dua minggu mereka telah bertolak ansur dengan memberi pendidikan kesihatan kepada pengunjung.
ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan tegas terhadap pengunjung gagal patuh SOP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!