Smith bangga Villa kejutkan United
PENGENDALI Aston Villa, Dean Smith mengakui sangat berbangga apabila skuad kendaliannya itu mencipta kejutan apabila menewaskan Manchester United 1-0 di Old Trafford pada Sabtu.
Menurut Smith, kemenangan telah membuktikan kewibawaan pemain yang diturunkan pada perlawanan berkenaan, khususnya di benteng pertahanan.
Malah katanya, benteng pertahanan Villa dilihat berjaya mengekang asakan-asakan jentera serangan United terutamaya pada penghujung perlawanan.
“Saya rasa memang wajar untuk memberikan pujian kepada pasukan ini yang telah beraksi dengan cemerlang bagi mencatatkan kemenangan.
“Aksi yang dipamerkan pemain pertahanan Villa juga ternyata begitu baik apabila berjaya mengekang jentera serangan United diterajui bintang sensasi, Cristiano Ronaldo,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, pemain pertahanan Villa, Kortney Hause muncul wira pasukan berkenaan apabil menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-88.
Kemenangan itu menyaksikan Villa melonjak pada kedudukan kelapan dengan 10 mata hasil tiga kemenangan, seri sekali dan tewas dua kali daripada enam perlawanan.
Skuad The Red Devils itu kemudiannya mensia-siakan peluang keemasan bagi menyamakan kedudukan apabila bintang Portugal, Bruno Fernandes gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.
Sementara itu, Smith berkata, dia tidak menyifatkan kejayaan menewaskan United sebagai satu kejayaan besar, tetapi lebih kepada kejayaan terbaik yang dihasilkan oleh kesebelasan Villa.
“Ia bukan satu kejayaan terbesar, tetapi lebih kepada kejayaan yang terbaik. “Oleh itu saya berharap momentum kemenangan ini akan berterusan untuk kita memberikan cabaran sengit kepada pasukan-pasukan lain pada musim ini,” katanya.
habis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!