'RM1.3 juta bukan kos kuih raya, tapi bantuan untuk rakyat'

Barangan runcit dan beg yang digunakan untuk diagihkan kepada penduduk yang terkesan akibat PKP 1.0 ketika Kedah ditadbir Mukhriz.
Barangan runcit dan beg yang digunakan untuk diagihkan kepada penduduk yang terkesan akibat PKP 1.0 ketika Kedah ditadbir Mukhriz.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor didakwa keliru berhubung kos beg kuih raya yang dikatakan lebih mahal berbanding kuih raya mencecah RM1.3 juta.

Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Anas Hafiz Mustafa menjelaskan, perbelanjaan besar itu adalah berkaitan bantuan untuk membantu rakyat dan petugas barisan hadapan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) akibat Covid-19.

Menurutnya, Pejabat Menteri Besar ketika itu menyediakan beg bantuan barangan runcit untuk rakyat yang terkesan dengan pandemik.

"Muhammad Sanusi mungkin tersilap, Pejabat Menteri Besar ketika itu pada Ramadan, (April 2020) tidak pernah tempah kuih raya sebanyak itu. Hanya kuih raya untuk diedarkan kepada kakitangan pejabat yang ditempah, tak kan sampai RM1.3 juta," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Anas berkata, setiap beg bantuan bernilai RM35 dan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan 1,000 beg.

"Kedah ada 36 DUN, jadilah 36,000 beg bantuan kesemuanya. Nilai RM35 ini termasuk kos penghantaran ke semua Pusat Khidmat ADUN dan Penyelaras DUN di seluruh negeri, termasuk Langkawi," katanya.

Mengulas lanjut, Anas berkata, beg 'non-woven' untuk mengisi barangan runcit berkenaan bernilai RM2.60 setiap satu, kesemuanya berjumlah 40,000 unit.

"Sebanyak 36,000 digunakan untuk mengisi barang-barang dan bakinya disimpan di Pejabat Menteri Besar untuk kegunaan masa depan.

Artikel Berkaitan:

"Barangan runcit yang terdapat dalam setiap beg bantuan termasuklah kordial, beras pulut, tepung, gula pasir, minyak masak, kopi dan bihun," jelasnya.

Menurutnya, pada 15 Mei 2020, Mukhriz telah melepaskan jawatan dan bayaran untuk barangan runcit dan beg tersebut belum sempat dibayar walaupun proses permohonan telah dibuat di Pejabat Kewangan Negeri.

"Perkara itu kemudian diangkat ke Mesyuarat Exco oleh pentadbiran baharu, diluluskan dan pada November 2020, pembayaran selesai dibuat.

''Salahkah tindakan pejabat MB ketika itu untuk bantu rakyat yang sedang kesusahan semasa PKP 1?," soalnya.

Anas memberitahu, perbelanjaan terbabit turut merangkumi pek makanan dua kali sehari kepada lebih 1,500 petugas barisan hadapan di negeri ini untuk tempoh sebulan.

"Pada masa itu, tiada apa-apa elaun makan minum untuk barisan hadapan. Keputusan yang dibuat adalah demi rakyat, bukan kepentingan atau keuntungan peribadi sesiapa. Tanyalah ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) yang telah melompat ke sebelah sana, mereka boleh sahkan atau rujuk kepada penerima seperti hospital," katanya.

Dalam pada itu, Anas turut membidas Muhammad Sanusi yang hanya membelanjakan RM34.2 juta untuk membantu rakyat Kedah berdepan pandemik.

"Muhammad Sanusi sangat bangga dengan duit simpanan negeri RM660 juta. Malangnya sejak menjadi Menteri Besar selama 17 bulan, jumlah itu sangat rendah dibandingkan dengan perbelanjaan negeri lain yang mencecah ratusan juta," katanya.

Tambah Anas, tidak hairanlah sehingga kini Kedah masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Difahamkan RM660 juta itu bukanlah wang yang kerajaan negeri boleh belanjakan. Ia wang yang sudah ada 'tajuk' dan untuk apa boleh dibelanjakan. Malah, beliau turut bangga apabila Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) belanja lebih RM48 juta untuk bantu rakyat semasa pandemik, itu duit rakyat bukannya hasil kutipan kerajaan negeri.

''Saya pelik, orang berbelanja untuk rakyat dia bising. Pada 2018, Barisan Nasional (BN) belanja berjuta-juta untuk Ekspo Muafakat Kedah, kenapa Muhammad Sanusi tak pula bising," katanya.

Pada Selasa, Muhammad Sanusi mendedahkan kerajaan negeri terpaksa membayar RM1.3 juta bagi perbelanjaan membekalkan beg dan kuih raya yang didakwa dilakukan penasihat Mukhriz.

Difahamkan beg tersebut didakwa lebih mahal berbanding kuih raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanusi dedah tiga dokumen pemindahan wang MBI Kedah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!