Gara-gara tumbuk pipi, penarik kereta didenda RM1,400

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara menumbuk pipi seorang lelaki di sebuah pasar raya, seorang penarik kereta didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Joseph Prakash,41, selepas dia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera ke atas Jubayel ,42, dengan menumbuk pipi mangsa di sebuah pasar raya di Jalan Masjid India, di sini pada 7.30 malam, 27 Februari lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal, bagaimanapun Joseph Prakash yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

“Ketika kejadian lelaki (mangsa) itu telah mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dan menyebabkan saya hilang pertimbangan. Saya memohon maaf atas perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulangi lagi,” katanya.

Di mahkamah sama, seorang penyelia bankuet hotel didenda RM200 kerana memiliki 14 jenis mercun dan bunga api pelbagai jenama tanpa permit, tahun lepas.

Majistret Noorasyikin menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Norfaizah Awang, 39, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara 20 hari jika gagal membayar denda.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu didakwa dalam milikannya 14 jenis mercun dan bunga api pelbagai jenama tanpa permit atau kebenaran sah di hadapan kedai makan di Jalan Raja Alang, Dang Wangi di sini pada 10.35 malam, 24 Mei 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 74 Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 dan boleh dihukum menurut Seksyen 76 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300.

Nur Farah Adilah memohon hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!