Tuntutan pengeluaran i-Citra RM10,000 solusi jangka pendek
SHAH ALAM – Pemuda UMNO mengakui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan simpanan hari tua untuk ‘survival’ rakyat namun tuntutan pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 adalah keperluan terdesak sebagai solusi jangka pendek supaya rakyat tidak terputus wang tunai ketika pandemik.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, suasana kecemasan musim pandemik memerlukan pelbagai pendekatan mendesak terutamanya bagi menjamin jaringan keselamatan sosial rakyat.
“Jutaan rakyat yang hilang punca pendapatan akibat pandemik sama ada diberhentikan kerja, dicutikan tanpa gaji, perniagaan lingkup dan pendapatan gaji hari yang terencat, memberi kesan kepada keupayaan rakyat untuk berbelanja sekali gus mengakibatkan aliran tunai dalam ekonomi terjejas teruk.
“Rakyat terdesak untuk bayar komitmen bulanan seperti sewa rumah, ansuran kereta, bil-bil utiliti, kad kredit dan lain-lain pada masa sama tertekan untuk penuhi tuntutan perut, keperluan dapur keluarga, keperluan persekolahan anak-anak (PdPR) dan sebagainya,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Ahad.
Sehubungan itu menurutnya, dalam pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Selasa lalu, ada beberapa cadangan dikemukakan Pemuda UMNO untuk menangani isu menampung kembali kelompongan simpanan KWSP akibat pengeluaran musim kecemasan.
“Antaranya meningkatkan kadar caruman wajib majikan untuk tempoh tertentu dan memperluaskan caruman ‘mandatory coverage’ termasuk kepada sektor informal seperti Gig ekonomi,” ujarnya.
Selain itu, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya turut mencadangkan kepada kerajaan untuk berusaha mendatangkan solusi jangka sederhana dan panjang termasuk menyediakan bantuan tunai (cash transfer) yang secukupnya kepada rakyat dalam Belanjawan 2022 nanti.
“Ia selain mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu untuk anak-anak muda termasuk skim jaminan pekerjaan dan mengupayakan kembali projek-projek infrastrukur berskala besar yang mempunyai kesan gandaan ekonomi (multiplier effect) bagi segera merangsang pertumbuhan dan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!