Fernandes minta maaf
BRUNO Fernandes memohon maaf atas kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti ketika Manchester United tewas 0-1 kepada Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford pada Sabtu.
“Tiada orang yang lebih kecewa daripada saya apabila terlepas penalti itu. Hari ini saya gagal dan saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya. Tetapi saya akan terus mengambil sepakan penalti.
“Kritikan dan perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam bola sepak. Saya akan mengambilnya sebagai sesuatu yang penting untuk memperbaiki permainan saya.
“Perkara paling penting bagi saya adalah untuk menang bersama-sama. Saya akan sentiasa berusaha membantu rakan-rakan sepasukan dan kelab ini untuk menjadi yang terbaik,” katanya.
Dalam aksi tersebut, United berpeluang sekurang-kurangnya mengikat Villa dengan keputusan seri, namun Fernandes gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diambil pada masa kecederaan babak kedua.
Ini kali kedua pemain tengah Portugal itu gagal dalam 23 percubaannya menerusi sepakan penalti selepas aksi EPL menentang Newcastle United pada Oktober tahun lalu.
Dalam pada itu, pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer menepis tanggapan Cristiano Ronaldo tidak gembira dengan keputusannya menyerahkan tugas kepada Fernandes untuk mengambil sepakan penalti.
"Bruno sangat cemerlang dan Cristiano mungkin pemain yang menyempurnakan penalti terbanyak dalam bola sepak dunia. Ia hanya terlepas peluang untuk mendapatkan mata.
"Anda akan membuat semua andaian ini mengenai reaksi pemain. Bruno adalah pengambil penalti yang bagus dan anda akan menyokong dengan kebolehannya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!