Ekonomi digital berpotensi bangunkan industri baharu

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi digital berpotensi menjadi pemacu utama dalam membangunkan industri dan bidang pertumbuhan baharu di ASEAN kerana ia telah menjadi elemen penting dalam kehidupan harian setiap orang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Bercakap semasa Dialog China-ASEAN Information Harbor di Sidang Kemuncak Persidangan Internet Dunia 2021 di Wuzhen hari ini yang berlangsung secara maya, beliau berkata krisis COVID-19 telah mengubah digitalisasi merangkumi perkhidmatan penjagaan kesihatan sehinggalah pembelian dan pembayaran secara dalam talian.

Annuar berkata Malaysia telah memperkenal Pelan Infrastruktur Digital Negara untuk meningkatkan ketersambungan digital dan mempersiap negara untuk peralihan ke arah teknologi 5G.

"Penggunaan 5G secara berperingkat akan mengubah Malaysia menjadi hab inovasi dan menarik pelaburan baharu bernilai RM70 bilion dalam sektor digital daripada pelabur antarabangsa dan tempatan.

"Ini akan membantu negara mewujudkan peluang perniagaan baharu dan pekerjaan bernilai tinggi dengan anggaran 100,000 pekerjaan baharu dijangkakan antara 2021 dan 2025,” katanya.

Annuar berkata pelancaran MyDIGITAL dan Rangka Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia pada Februari tahun ini dijangka menyumbang kira-kira 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2025.

Beliau berkata pengembangan ekonomi digital mewujudkan banyak peluang ekonomi baharu namun susulan kemunculan ekonomi digital, risiko ancaman keselamatan siber turut tersebar secara meluas.

Annuar turut berkongsi bahawa Malaysia adalah antara negara yang mempunyai ranking terbaik di rantau ini apabila membabitkan potensi dalam industri keselamatan siber dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 yang dilancarkan pada Oktober 2020 serta pelancaran Program Pemerkasaan Keselamatan Siber (SiberKASA) pada Mac tahun ini adalah usaha bagi menangani ancaman keselamatan siber.

Artikel Berkaitan:

"Di peringkat ASEAN, Malaysia menjalin kerjasama dengan Singapura melalui agensi keselamatan siber negara masing-masing bagi membangunkan Pelan Tindakan ASEAN mengenai Pelaksanaan Norma Tingkah Laku Negara yang Bertanggungjawab di Ruang Siber bagi memastikan pelaksanaan kesemua norma ini berkesan dan praktikal,” katanya.

Pada Januari lepas, Annuar berkata Menteri-Menteri Digital ASEAN telah melancarkan Pelan Induk Digital ASEAN 2025 bagi memacu matlamat ASEAN untuk menjadi peneraju dalam komuniti digital dan blok ekonomi yang diperkasa oleh perkhidmatan digital transformatif yang selamat, teknologi dan ekosistem serta dikawal oleh keselamatan siber dalam usaha memupuk ruang digital yang dipercayai dan boleh diharap.

Annuar berkata menurut Forum Ekonomi Dunia, ASEAN memiliki pasaran Internet yang berkembang pesat dan menyaksikan ekonomi Internet di rantau ini pada 2019 mencecah AS$100 bilion, tiga kali ganda lebih tinggi berbanding empat tahun terakhir.

Beliau berkata menjelang 2025, ekonomi Internet rantau ini dijangka berkembang kepada AS$300 bilion dan ini akan menjadikan ASEAN sebagai pasaran tunggal terbesar dunia menjelang 2030.

Mengambil kira momentum Kerjasama Ekonomi Tahun Digital ASEAN-China dan kemungkinan Kerjasama Digital ASEAN-China, Annuar menyifatkan program dialog itu sebagai venue yang baik untuk memupuk kerjasama yang lebih mendalam, bertukar idea serta meneroka titik pembangunan baharu dalam kerjasama digital.

Acara itu adalah persidangan tahunan anjuran Pentadbiran Ruang Siber Republik Rakyat China dengan kerjasama Kerajaan Rakyat Wilayah Zhejiang di Wuzhen sejak 2014.

Bertema ‘Towards a New Era of Digital Civilisation-Building a Community with a Shared Future in Cyberspace,' ia diadakan secara hibrid tahun ini dengan penyertaan hampir 2,000 perwakilan dari lebih 80 negara dan wilayah.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!