Harap KJ buat ‘kejutan’ di kedai makan

No Image Caption
A
A
A

KEBENARAN makan di restoran kepada individu lengkap dua dos vaksin Covid-19 di negeri-negeri yang memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada pertengahan Ogos lalu nampaknya memberi kelegaan kepada orang awam untuk menjamu selera di luar rumah masing-masing.

Bagaimanapun, kebenaran tersebut telah dicemari oleh perokok-perokok yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. Mereka masih lagi dengan perangai lama, tidak mengendahkan larangan merokok di restoran walaupun terang dan nyata papan tanda dilarang merokok terpampang di dinding restoran. Sikap mereka yang mementingkan diri sendiri itu bukan sahaja tidak mematuhi undang-undang ditetapkan malah turut tidak menghormati hak orang lain untuk berada dalam keadaan selesa ketika menikmati hidangan.

Adakah mereka faham bahawa sesetengah orang itu tidak boleh menghidu bau rokok terutamanya wanita dan kanak-kanak ketika mereka makan dan minum di restoran?

Keengganan perokok mematuhi undang-undang itu juga akan menyebabkan persekitaran kedai makan, terutamanya lantai menjadi kotor akibat habuk dan puntung rokok yang dibiarkan bertaburan.

Sehingga ke hari ini, penulis masih tidak faham mengapa masih ada segelintir perokok yang terus mementingkan diri dengan melanggar undang-undang ditetapkan walaupun kesedaran telah diberikan sejak sekian lama. Situasi tersebut menyebabkan penulis terfikir, adakah ia berlaku disebabkan oleh pelaksanaan undang-undang yang lemah atau individu yang merokok itu keras kepala?

Menyorot kembali era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, memperkasa larangan merokok di tempat awam seperti kedai makan telah menjadi antara agenda utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada ketika itu. Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tegas menguatkuasakan larangan tersebut sehingga ia menimbulkan kegentaran dalam kalangan perokok.

Pada ketika itu, suasana di kedai makan berubah 360 darjah. Tiada lagi perokok yang menghembus dan menyedut asap rokok di dalamnya selepas menjamu selera. Sebaliknya, mereka yang berhajat merokok perlu berada di luar premis dalam jarak tiga meter atau 10 kaki.

Tidak berpanjangan

Artikel Berkaitan:

Namun, situasi tersebut tidak berpanjangan dan lenyap secara perlahan-lahan apabila kerajaan dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu tumbang pada 24 Februari 2020.

Lebih menyedihkan apabila inisiatif Kementerian Kesihatan yang dikepalai oleh Dr Dzulkefly untuk memperkasa larangan merokok itu tidak lagi diendahkan walaupun ia masih berkuat kuasa di bawah Peraturan 11 (1)(d) Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Sampai bila kita mahu bergantung harap kepada penguatkuasaan undang-undang dan menunggu penguat kuasa datang untuk mengeluarkan saman, baharu hendak mematuhinya. Lihat sahaja Singapura, ketegasan negara itu menguatkuasakan undang-undang larangan merokok berjaya mendidik perokok supaya tidak merokok sesuka hati di tempat awam.

Malah, inisiatif tersebut telah menyebabkan golongan perokok di negara itu dengan sendirinya tahu di mana tempat yang boleh merokok dan tempat yang tidak boleh merokok walaupun pada dasarnya hampir seluruh pelosok di republik itu adalah kawasan larangan merokok. Hal sama juga berlaku di Australia yang mana perokok di negara itu begitu patuh dengan larangan ditetapkan.

Di negara kita, para perokok masih boleh lagi menghisap rokok semahunya tanpa gangguan di banyak lagi kawasan. Tapi jika mereka masih berdegil, penulis berharap sangat agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan pasukan penguat kuasa KKM melakukan pemeriksaan mengejut di kedai-kedai makan.

Mereka boleh mulakanya di ibu kota dengan menjadikan restoran-restoran mamak yang menjadi tumpuan majoriti perokok sebagai sasaran mereka.

Siapa tahu, cara tersebut mungkin boleh mendidik, sekali gus memberi kesedaran kepada perokok-perokok yang mengingkari larangan ditetapkan oleh kerajaan itu?

*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!