Gaza mula bina semula rumah musnah

Penduduk Palestin membina rumah mereka yang musnah akibat serangan Israel semasa pertempuran Israel-Hamas Mei lalu, di Khan Younis di selatan Jalur Gaza. - Foto Reuters
Penduduk Palestin membina rumah mereka yang musnah akibat serangan Israel semasa pertempuran Israel-Hamas Mei lalu, di Khan Younis di selatan Jalur Gaza. - Foto Reuters
A
A
A

GAZA - Pembangunan semula kediaman di Gaza yang musnah atau rosak dalam konflik Mei antara Israel dan Hamas akan bermula pada minggu pertama Oktober menggunakan bantuan dari Qatar.

Pemerintahan Gaza yang dikendalikan Hamas mengatakan, serangan udara Israel selama 11 hari konflik telah memusnahkan kira-kira 2,200 rumah dan merosakkan 37,000 yang lain.

Menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Pekerjaan Awam di Gaza, Naji Sarhan, kira-kira 1,800 rumah yang musnah atau rosak akan dibina semula pada fasa pertama.

Dia menambah, Israel telah menarik balik beberapa sekatan berkaitan keluli dan simen untuk memasuki wilayah tersebut sejak beberapa hari lalu.

Minggu lalu, Mesir mula memperbaiki jalan pesisir utama Gaza, sebahagian daripada rancangan yang lebih luas untuk memperbaiki infrastruktur Gaza.

Pegawai Palestin mengatakan 250 orang, termasuk 66 kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara oleh Israel di Gaza.

Setelah gencatan senjata pada 21 Mei, akses ke dana dan bahan-bahan pembinaan semula menjadi permintaan utama Hamas.

Israel mengehadkan bahan binaan memasuki wilayah itu, mengatakan Hamas menggunakannya untuk membina senjata bagi melakukan serangan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, setelah mengadakan perjanjian dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Qatar, Israel membenarkan sekitar AS$20 juta bantuan dari negara teluk untuk memasuki Gaza bulan ini.

Pegawai Gaza menganggarkan memerlukan AS$479 juta untuk membina semula rumah dan infrastruktur yang rosak dalam pertempuran Mei.

Qatar dan Mesir masing-masing berjanji AS$500 juta untuk pembinaan semula Gaza. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!