Dua pendaki sesat di Gunung Pulai ditemui
KULAI - Dua pendaki yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Pulai di sini ditemui kira-kira jam 10.45 malam Ahad.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Wan Mohd Azrul Wan Mahamad Shaf’ii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.30 petang Ahad memaklumkan kejadian itu.
Beliau memberitahu, sebaik tiba di kaki gunung berkenaan, pihaknya dimaklumkan terdapat dua lelaki masing-masing berusia 16 dan 25 tahun tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian.
"Anggota bomba bertindak menghubungi talian telefon mangsa bagi menjejaki lokasi semasa mangsa tetapi rangkaian telefon tidak jelas.
"Operasi pencarian dilakukan lapan anggota dan seorang anggota polis. Setelah membuat pencarian kedua-dua mangsa telah ditemui di kawasan jeram di kaki gunung pada jam 10.45 malam," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurut Wan Mohd Azrul, kedua-dua mangsa kemudian dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Kulai sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.15 pagi pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!