'YouTuber' Mesir akan dikenakan cukai
KAHERAH - Mesir akan mengenakan cukai kepada pencipta kandungan media sosial selepas lebih ramai penduduk menggunakan platform itu untuk mencari pendapatan.
Pihak berkuasa cukai berkata, penggiat Youtube atau 'YouTuber' dan blogger yang memperoleh pendapatan tahunan melebihi 500,000 (RM133,247) pound Mesir akan dikenakan cukai.
Mesir yang mempunyai jumlah penduduk melebihi 100 juta orang telah mencapai kadar penebusan internet sebanyak 60 peratus, menurut perangkaan rasmi.
Bagaimanapun, pengguna media sosial itu tidak bersetuju dengan langkah tersebut.
"Malangnya, penjual sayur-sayuran dikenakan cukai, jadi kita juga boleh mencukai golongan kaya," kata seorang penduduk di Mesir yang membuat ciapan di Twitter.
Seorang lagi penduduk menyatakan tindakan itu akan menyebabkan pencipta kandungan membuat keputusan untuk meninggalkan Mesir.
Menurut seorang pengguna Twitter, jika kerajaan mahu mengenakan cukai ke atas penggiat Youtube, perkhidmatan internet perlu ditambah baik dan pakej terhad gigabait perlu dihapuskan.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan pihak berkuasa cukai, Mohamed al-Gayyar cuba untuk meredakan kemarahan penduduk ekoran pengumuman itu pada Ahad.
Beliau berkata, penduduk yang membuat keuntungan di Mesir perlu dicukai tanpa mengira bidang pekerjaan mereka.
Dalam satu lagi wawancara dengan sebuah stesen televisyen swasta, Mohamed Keshk berkata, sesiapa yang gagal mematuhi peraturan baharu itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.
Seorang pengacara televisyen, Amr Adib pula mempersoalkan pelaksanaan cukai ke atas penggiat YouTube dan blogger itu.
"Berapa ramaikah blogger di luar sana?" soalnya.
"Kementerian Kewangan tahu terdapat berjuta-juta orang yang tidak membayar cukai secara adil," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!