RMK12: Pembaharuan libatkan seluruh negara
SHAH ALAM- Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan pembaharuan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi tujuan tersebut, tiga tema iaitu Makmur, Inklusif, Mampan dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan diperkenalkan.
Menurut beliau, kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan.
“Tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata. Sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
“Di samping itu, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika membentangkan dokumen RMK12 bertemakan Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Menurut beliau, dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dan menjadi sebuah negara berteknologi tinggi.
Tambahnya, empat matlamat utama dalam tempoh RMK12 iaitu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025.
Kedua, purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan pada tahun 2025.
“Seterusnya, jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025.
“Akhir sekali, pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015,” katanya.
Jelas Ismail Sabri, dengan matlamat Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan akan membolehkan rakyat negara ini menikmati taraf hidup yang lebih baik.
Katanya, semua strategi dan inisiatifnya juga sejajar dengan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, yang dipersetujui oleh semua ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015.
“Kita mahu memacu Keluarga Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada masa hadapan. Namun, pencapaian ini tidak bermakna, jika masih ada yang terpinggir daripada arus pembangunan.
“Kita mahu hidup bahagia bersama-sama, sebagai satu keluarga tanpa mengira tahap pendapatan, agama, bangsa dan kaum. Dalam melaksanakan pembangunan, kelestarian alam perlu menjadi agenda utama negara, kerana ia akan diwarisi oleh generasi masa hadapan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!